Daniel Craig Tercedera Semasa Penggambaran - Produksi Bond 25 Dihentikan Sementara

Daniel Craig Tercedera Semasa Penggambaran - Produksi Bond 25 Dihentikan Sementara


Produksi filem Bond 25 dihentikan sementara selepas pelakon utama yang membawakan watak James Bond, Daniel Craig dilaporkan tercedera semasa penggambaran, menambahkan senarai masalah yang timbul untuk filem ke-25 dalam francais filem James Bond ini.


Tahun lepas, pengarah asalnya, Danny Boyle meninggalkan produksi tersebut akibat perbezaan pendapat, yang menyebabkan timbulnya ketidaktentuan terhadap masa depan filem Bond 25. Selepas Cary Fukunaga menggantikan tempat Boyle di kerusi pengarah, skrip filem Bond 25 telah diolah semula. Malah, tarikh tayangannya juga dipinda beberapa kali sebelum studio penerbitannya memilih April 2020 untuk tayangan perdana filem Bond 25.

Menurut media The Sun, produksi filem Bond 25 dihentikan sementara akibat kecederaan Craig. Pelakon tersebut dilaporkan tercedera dalam satu adegan yang memerlukannya berlari di Jamaica, dan dibawa ke Amerika Syarikat untuk pemeriksaan X-ray. Diagnosis rasmi masih belum diperolehi, namun dilaporkan yang Craig mengadu tentang kesakitan pada buku lalinya. 


Situasi hampir sama turut berlaku di set penggambaran filem Mission: Impossible - Fallout pada Ogos 2017, di mana Tom Cruise tercedera dan buku lalinya retak ketika melakonkan adegan lasak. Cruise hanya kembali menyambung penggambaran pada Oktober tahun yang sama, dan berkemungkinan Craig juga akan diketepikan sementara selama sekurang-kurangnya 2 bulan, bergantung kepada kecederaan yang dialami. 


No comments:

Powered by Blogger.