Tahun ini saja, dua filem yang
menampilkan watak legenda, Hercules dihasilkan. Tetapi filem Hercules lebih
ditunggu-tunggu kerana menampilkan The Rock sebagai hero. Filem ini
diadaptasikan daripada novel grafik Hercules: The Thracian Wars dan diarahkan
oleh Brett Ratner.
Filem Hercules menampilkan Dwayne 'The
Rock' Johnson sebagai hero, Hercules. Hercules, anak kepada dewa Zeus dan ibunya
dari kalangan manusia, bersama rakan-rakannya, terdiri daripada Amphiaraus (Ian McShane), Autolycus (Rufus
Sewell), Tydeus (Aksel Hennie), Atalanta (Ingrid Bolsø Berdal) dan Iolaus
(Reece Ritchie) merupakan tentera upahan yang bergerak dari satu kota ke kota
yang lain, selepas dihalau keluar dari Athens atas tuduhan membunuh keluarganya
sendiri.
Dalam pengembaraannya, kisah
legenda Hercules dan 12 tugasannya 'dijual' dan ditokok tambah untuk menguatkan
asas cerita dan meyakinkan orang ramai. Sehingga akhirnya Hercules dan
rakan-rakannya singgah di kota Thrace dan bersetuju membantu Lord Cotys (John
Hurt) melatih tenteranya dan mempertahankan kotanya daripada serangan Rheseus
(Tobias Santelmann).
Rupa-rupanya, peranan Hercules
dan kumpulannya dalam membantu Lord Cotys hanyalah helah kerana musuh
sebenarnya adalah orang lain. Siapakah musuh yang dibantunya yang akhirnya
membantu Hercules membetulkan kesilapan yang dilakukannya?
Filem Hercules tidaklah mengecewakan
kerana penuh dengan aksi dan juga selingan jenaka buat mengurangkan tekanan
filem ini. Apa yang pasti, kemunculan Dwayne Johnson dalam filem ini sekali
lagi membuktikan gelaran The Rock sebagai “Franchise Viagra” bukanlah sesuatu
yang pelik.
Kami berikan 4/5 bintang untuk
filem Hercules.
No comments:
Post a Comment