Selepas kejayaan filem M3GAN (2023) yang menggabungkan elemen seram, sains fiksyen dan sindiran sosial dalam satu naskhah yang menghiburkan, Blumhouse dan Atomic Monster kembali dengan sekuel yang lebih ganas dan mendalam – M3GAN 2.0. Dijadualkan untuk tayangan tempatan pada 26 Jun 2025, filem ini menyambung kisah dua tahun selepas insiden pertama, di mana Gemma (lakonan Allison Williams) kini aktif sebagai pejuang keselamatan teknologi A.I., manakala Cady (Violet McGraw) yang kini meningkat remaja mula menunjukkan sisi pemberontakan.
Saksikan treler filem M3GAN 2.0 di bawah:
BERKAITAN: Review Filem M3GAN (2023) - Anak Patung Android Yang Menakutkan!
Apa yang menjadikan M3GAN 2.0 lebih menarik kali ini ialah kemunculan musuh baharu – sebuah android ketenteraan bernama Amelia, dicipta hasil penggodaman teknologi M3GAN oleh sebuah kontraktor pertahanan yang tamak. Amelia bukan sekadar boneka A.I., tetapi mesin pembunuh sofistikated yang lebih kuat, lebih laju dan jauh lebih berbahaya. Demi menghentikan ancaman yang boleh memusnahkan manusia, Gemma dan Cady terpaksa mengaktifkan semula M3GAN, kali ini dalam versi yang telah di-upgrade sepenuhnya. Maka tercetuslah konfrontasi epik antara dua entiti A.I. yang masing-masing penuh dengan agenda dan keupayaan luar jangka.
Barisan pelakon asal turut kembali memeriahkan sekuel ini termasuk Amie Donald (gerakan fizikal M3GAN) dan Jenna Davis (suara M3GAN), selain kehadiran pelakon baharu Ivanna Sakhno sebagai Amelia. Turut menyertai barisan pelakon ialah Brian Jordan Alvarez, Jen Van Epps, Aristotle Athari, Timm Sharp dan Jemaine Clement. Gerard Johnstone kembali sebagai pengarah, manakala duo penerbit ikonik James Wan dan Jason Blum sekali lagi menerajui produksi menerusi kerjasama Blumhouse dan Atomic Monster.
Dari sudut nada dan gaya, M3GAN 2.0 dikatakan membawa elemen yang lebih besar, dengan campuran aksi, komedi gelap dan seram futuristik – ibarat gabungan Terminator 2 dan Child’s Play. Treler rasmi yangdiperlihatkan turut menampilkan pelbagai babak aksi menarik, termasuk adegan ikonik M3GAN yang ‘menari sambil berlawan’ yang kini menjadi salah satu tarikan utama promosi filem ini.
Menariknya, M3GAN 2.0 bukan sahaja sebuah sekuel, tetapi juga merupakan sebahagian daripada perancangan M3GAN Cinematic Universe, dengan filem spin-off bertajuk SOULM8TE yang dijangka ditayangkan awal 2026 nanti. Ini menunjukkan komitmen Blumhouse dalam mengembangkan lagi naratif berkisar A.I. dan etika teknologi dalam bentuk hiburan sinematik yang unik dan mencabar minda.
Secara keseluruhannya, M3GAN 2.0 tampil sebagai sebuah sekuel yang menjanjikan bukan sekadar ketegangan dan hiburan, tetapi juga perbincangan tentang sempadan antara kemanusiaan dan kecerdasan buatan. Untuk peminat genre seram, thriller sains fiksyen dan filem yang bermain dengan isu masa depan teknologi, filem ini pasti menjadi salah satu tontonan wajib pertengahan tahun 2025!
Post a Comment