Selepas prestasi mengecewakan filem Blood Brothers: Bara Naga di pawagam Indonesia, FINAS kini mempertimbangkan untuk menamatkan polisi 'pintu terbuka' terhadap filem-filem antarabangsa.
Memetik kenyataan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dalam News Straits Times, beliau menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan tidak seimbang yang diterima oleh filem tempatan di pasaran luar, khususnya di Indonesia. Menurutnya,
Saya bukan bercakap hanya sebagai pengerusi FINAS, tetapi juga sebagai pembikin filem. Kita buka semua pintu untuk filem mereka tayang di Malaysia. Tapi bila filem kita ke sana, pelbagai halangan dari segi proses, pemasaran dan struktur dikenakan.
Menurut beliau, sekiranya negara lain menyukarkan kemasukan filem Malaysia ke pasaran mereka, Malaysia juga harus mengambil pendekatan yang sama sebagai balasan. Tambahnya lagi,
Kalau mereka bagi lima slot, kita pun bagi lima. Kalau sepuluh, kita bagi sepuluh. Perlu ikut siapa cepat, dia dapat. Tiada slot istimewa untuk sesiapa.
Polisi ini berkemungkinan akan diselaraskan dengan Skim Wajib Tayang, yang kini juga sedang dikaji semula agar lebih adil kepada semua pihak – termasuk filem luar.
Sebagai langkah jangka panjang, FINAS merancang satu inisiatif besar sekitar September atau Oktober ini untuk memperluas capaian filem tempatan ke pasaran antarabangsa. Hans menegaskan bahawa FINAS mahu menjadi jambatan yang menghubungkan pasaran tempatan dengan luar negara, bukan hanya terhad kepada Indonesia. Tegasnya lagi,
Kalau Blood Brothers gagal dari segi kutipan di Indonesia, saya akan buktikan penonton mereka silap. Kami sedang rancang untuk bawa filem ini ke pasaran lebih besar.
Untuk rekod, filem Blood Brothers: Bara Naga yang diarahkan oleh Syafiq Yusof telah mencatat kutipan RM76 juta di Malaysia, menjadikannya filem tempatan dengan kutipan tertinggi tahun ini. Namun, di Indonesia, ia hanya ditayangkan di 40 pawagam – jauh berbeza dengan lebih 100 filem Indonesia yang mudah menembusi pasaran Malaysia pada tahun 2024.
Post a Comment