Cameron Diaz kembali ke layar perak dalam filem terbaharu di Netflix, Back In Action, bergandingan semula dengan Jamie Foxx dalam sebuah aksi-komedi yang padat dengan nostalgia, letupan dan kekalutan keluarga.
Selepas lebih sedekad berehat dari dunia lakonan, kemunculan semula Diaz cukup mencuri tumpuan – dan filem ini seolah-olah direka khas untuk meraikan kepulangannya. Dalam filem Back In Action ini, Diaz dan Foxx membawakan watak Emily dan Matt, sepasang bekas ejen CIA yang kini hidup sebagai pasangan biasa, membesarkan dua anak mereka tanpa bayangan masa lalu. Namun, seperti yang boleh dijangka, identiti mereka terbongkar, musuh lama muncul semula, dan anak-anak pula menjadi mangsa keadaan. Maka bermulalah kembali episod aksi mereka yang penuh kekecohan dan adrenalin.
Chemistry antara Diaz dan Foxx tetap menjadi, malah terasa seperti mereka tak pernah terpisah sejak filem Annie (2014). Interaksi mereka mencuit hati, terutamanya ketika cuba menyeimbangkan kehidupan keluarga yang ‘normal’ dengan realiti sebagai bekas ejen perisik. Apa yang lebih menarik, Diaz masih mampu membawakan watak fizikal dengan penuh keyakinan – melakukan aksi sendiri, menyampaikan dialog komedi dengan selamba, dan sekali lagi membuktikan kenapa dia dulu pernah jadi antara pelakon wanita paling laris di Hollywood.
Dari segi aksi, filem Back In Action menawarkan pakej yang agak lengkap – kejar-mengejar kereta, tembak-menembak, letupan dan pertarungan tangan kosong. Visualnya segar, penuh warna, dan pacing filem cukup laju untuk mengekalkan perhatian. Namun begitu, dari aspek cerita dan koreografi, filem ini tidaklah luar biasa. Jalan cerita agak klise, mudah dijangka, dan kadangkala terasa terlalu selamat. Banyak elemen yang mengingatkan kita kepada filem-filem spy lama – termasuk montaj lagu retro ala “Ain’t That a Kick in the Head” – tetapi tanpa punch yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam.
Sayangnya, pelakon berbakat seperti Glenn Close dan Andrew Scott seakan-akan disia-siakan dengan watak tempelan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka sekadar pelengkap latar, bukannya pemacu cerita. Ini antara kelemahan ketara filem yang sepatutnya boleh jadi lebih tajam dan mendalam kalau diberi sentuhan skrip yang lebih berani.
Secara keseluruhan, filem Back In Action ialah filem yang tidak cuba menjadi lebih daripada apa yang ia janjikan – hiburan santai untuk penonton yang mahukan gabungan aksi ringan, komedi keluarga dan nostalgia bintang besar. Ia mungkin tidak akan diingati lama, tapi cukup menghiburkan untuk tontonan hujung minggu. Bagi peminat Cameron Diaz, filem ini ialah hadiah selamat datang kembali yang manis – dan siapa tahu, mungkin ini hanya permulaan kepada fasa baharu dalam kerjaya lakonannya.
PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment