Three seasons. One story.
Semakin hampir ke tarikh tayangan, Netflix akhirnya memperlihatkan legacy trailer untuk Squid Game Musim 3 — treler utama terakhir sebelum siri popular ini kembali pada Jumaat, 27 Jun 2025. Treler ini membawa penonton mengimbau perjalanan penuh emosi sepanjang Musim 1 dan 2, memaparkan detik-detik ikonik dan memberikan gambaran tentang bab terakhir yang dinanti-nantikan.
Saksikan treler Squid Game Musim 3 di bawah:
Treler ini menyoroti perjalanan Gi-hun (Player 456), daripada kehidupannya sebelum terperangkap dalam permainan maut, hinggalah perjuangannya kini untuk mengekalkan kepercayaan terhadap nilai kemanusiaan. Geum-ja (Player 149) turut berkongsi renungan tentang kehidupan dan ketidakadilan, sambil kita diperlihatkan wajah-wajah pemain yang telah gugur — Ali Abdul, Kang Sae-byeok, Oh Il-nam, dan Cho Sang-woo. Semua ini mengingatkan kita tentang trauma serta kehilangan yang telah Gi-hun hadapi.
Walaupun cabaran demi cabaran datang, Geum-ja tetap percaya bahawa Gi-hun mampu membawa perubahan. Treler ini turut menampilkan babak-babak penuh aksi dan emosi, termasuk pertembungan yang dinanti antara Gi-hun dan Front Man — individu yang pernah menyamar sebagai Player 001.
Musim terakhir Squid Game ini menyaksikan Gi-hun dan pemain lain berdepan cabaran yang lebih berbahaya, dengan setiap keputusan membawa akibat besar. Front Man pula mula menyambut kehadiran VIP misteri, sementara abangnya, Jun-ho, meneruskan usaha mencari pulau rahsia tersebut — tanpa menyedari wujudnya pengkhianat dalam kalangan mereka. Adakah Gi-hun mampu membuat pilihan yang tepat, atau semangatnya akhirnya akan hancur di tangan Front Man?
Squid Game Musim 3 diarahkan oleh Hwang Dong-hyuk, yang sebelum ini mencipta sejarah di Primetime Emmys® ke-74 sebagai pengarah Asia pertama memenangi kategori Outstanding Directing for a Drama Series. Musim penutup ini dijangka menjadi pengakhiran yang penuh mendebarkan untuk siri yang telah mencetuskan fenomena di seluruh dunia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan penamat luar biasa ini. Squid Game Musim 3 bakal ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada Jumaat, 27 Jun 2025.
Post a Comment