Kita budak kereta, kita setel cara kereta.

Filem aksi tempatan yang ditayangkan 18 tahun lalu dan menampilkan elemen drift, Impak Maksima, kini kembali dengan sekuel terbaharu, diberi tajuk Impak Maksima 2 yang pastinya bakal menggegarkan pawagam tempatan! Dihasilkan oleh pengarah yang tak asing lagi, Dr. Ahmad Idham, Impak Maksima 2 dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 17 Julai 2025.

Saksikan treler teaser filem Impak Maksima 2 di bawah:

Dari apa yang kami tonton, filem Impak Maksima 2 ini nanti memang akan penuh dengan aksi pemanduan ekstrem, perlumbaan penuh adrenalin, dan babak-babak drama yang cukup tegang. Masih mengekalkan elemen perlumbaan jalanan yang menjadi identiti francais ini, kali ini aksi drift dan perlumbaan nampaknya dibawa ke tahap yang lebih moden dan penuh gaya.

Filem Impak Maksima 2 mengisahkan kedatangan pemuda dikenali sebagai Rudy lakonan Arfie yang datang ke pusat permotoran, APDCREW Circuit milik Joe lakonan Eizlan, ketika era sukan motor, suram. Rudy adalah anak saudara kepada kenalan lama iaitu Asisten Superintendan Maria (Dynas). Rudy sering terbabit aktiviti lumba haram dan pernah ditahan di lokap. Maria kemudian membuat perjanjian untuk menyokong Rudy menyertai dunia permotoran. Namun, pemuda itu diberi syarat bekerja dengan APDCREW Circuit untuk mendapat bimbingan profesional.

Filem Impak Maksima 2 masih mengekalkan barisan pelakon asal seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi dan Opie Zamie. Mereka akan digandingkan bersama barisan pelakon baharu seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli dan Riena Amirah yang turut menjadi penyumbang besar kepada kepada naskhah sekuel ini.

Filem Impak Maksima 2 dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 17 Julai 2025.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post