Kalau anda kaki filem penuh emosi, Pulang yang boleh ditonton di Netflix adalah antara naskhah yang wajib masuk dalam senarai tonton anda. Filem arahan Kabir Bhatia ini bukan sekadar nak buat penonton menitiskan air mata, tetapi turut menyimpan kisah yang lebih besar — kisah yang terinspirasi daripada sejarah sebenar keluarga Ahmad Izham Omar, seorang tokoh besar dalam industri muzik dan hiburan kita. Dan itulah yang menjadikan Pulang lebih menyentuh jiwa.
Filem Pulang membawa kita kembali ke zaman 1940-an, di Kuala Terengganu. Othman (lakonan Remy Ishak) hanyalah seorang nelayan biasa yang hidup dalam serba kekurangan. Tapi dia ada impian besar: nak ubah nasib keluarga. Dengan berat hati, Othman tinggalkan isteri tersayang, Che Tom (lakonan Puteri Aishah) dan anak mereka, untuk belayar jadi kelasi kapal. Katanya, “Aku janji aku akan pulang.” Tapi janji itu, makin lama makin sayup dibawa ombak masa.
Apa yang membuat Pulang begitu istimewa ialah naskhah ini diangkat daripada kisah sebenar datuk kepada Ahmad Izham Omar, seorang nama yang tidak asing dalam dunia muzik dan penyiaran Malaysia. Ahmad Izham Omar sendiri pernah menyatakan dalam temu bual bahawa kisah datuknya ini telah diceritakan turun-temurun dalam keluarga, namun tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang terjadi kepada datuknya selepas meninggalkan tanah air. Filem ini, walaupun disulam dengan elemen fiksyen, menjadi sebuah penghargaan kepada insan yang kisahnya terpadam dalam lipatan sejarah keluarga mereka.
Lakonan Remy Ishak sebagai Othman memang ‘kena’ dengan wataknya — seorang lelaki yang keras luar, tapi lembut hatinya pada keluarga. Gerak tubuh, air muka dan setiap dialognya benar-benar buat kita rasa dekat dengan penderitaan dan dilema Othman. Puteri Aishah pula berjaya bawa watak Che Tom sebagai isteri yang tabah menanti, walaupun hati remuk menanggung rindu.
Satu perkara yang memang kena puji — sinematografi filem ini memang cantik. Lautan luas yang digambarkan dalam filem ini bukan sekadar pemandangan, tapi jadi simbol harapan, cabaran dan kadang-kadang kesunyian. Skor muzik Audi Mok pula menambahkan lagi perasaan sedih, pilu, dan sesekali buat kita termenung panjang bila babak-babak menyentuh hati muncul. Namun begitu, ada beberapa babak yang terlihat sangatlah CGI, namun tidaklah sampai mengganggu perjalanan filem Pulang ini.
Ya, Pulang memang cerita cinta — tapi bukan cinta klise. Ia kisah tentang janji yang tak tertunai, tentang impian yang membawa pergi, dan tentang wanita yang setia menunggu walaupun dunia terus berubah. Dalam masa sama, ia jadi penghargaan kepada generasi dulu yang berkorban tanpa kita sedar — yang kisah mereka mungkin hilang ditelan sejarah kalau tak diangkat dalam naskhah seperti ini.
Kesimpulannya, kalau anda sukakan filem yang perlahan tapi penuh makna, yang sarat dengan emosi dan visual yang memukau, Pulang ialah pilihan yang tepat. Jangan lupa sediakan tisu — sebab filem ini bukan sahaja tentang lautan yang luas, tapi juga tentang hati yang lama terluka.
PENILAIAN: 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment