Universal Pictures baru sahaja melancarkan treler baharu filem Jurassic World Rebirth, filem terbaharu dalam francais dinosaur ikonik yang kini dibintangi oleh bintang MCU, Scarlett Johansson.
Saksikan treler baharu filem Jurassic World Rebirth di bawah:
Diarahkan oleh Gareth Edwards (Rogue One, Godzilla) dan ditulis oleh David Koepp (penulis asal Jurassic Park), filem Jurassic World Rebirth menyuntik nafas baharu ke dalam dunia Jurassic yang penuh dengan aksi, misteri dan — tentunya — dinosaur menggerunkan. Lebih menarik, Steven Spielberg sendiri kembali sebagai penerbit eksekutif, bersama Denis L. Stewart dan Jim Spencer.
BERKAITAN: Saksikan Treler Terbaharu Filem Jurassic World Rebirth, Bakal Ditayangkan Julai Ini
Lima tahun selepas peristiwa dalam filem Jurassic World Dominion (2022), keadaan bumi tidak lagi sesuai untuk kehidupan dinosaur. Spesies yang masih bertahan kini hanya boleh ditemui di zon-zon tropika yang terpencil — dan di sinilah terletaknya rahsia penting: tiga makhluk purba paling besar yang menyimpan potensi untuk menghasilkan ubat penyelamat nyawa manusia.
Scarlett Johansson memegang watak Zora Bennett, seorang pakar operasi khas yang ditugaskan untuk mengetuai misi mengekstrak genetik daripada ketiga-tiga dinosaur tersebut. Namun, apa yang sepatutnya menjadi operasi rahsia bertukar menjadi cabaran hidup dan mati apabila misi mereka bertembung dengan sebuah keluarga awam yang terdampar akibat serangan dinosaur laut. Kini, mereka semua terperangkap di sebuah pulau misteri — dan di situlah mereka menemui satu rahsia yang telah lama disembunyikan dari dunia.
Selain Johansson, filem Jurassic World Rebirth turut menampilkan Jonathan Bailey (sebagai Dr. Henry Loomis) dan Mahershala Ali (sebagai Duncan Kincaid). Turut membintangi ialah Rupert Friend, Manuel Garcia-Rulfo, Luna Blaise, David Iacono, Audrina Miranda, Philippine Velge, Bechir Sylvain dan Ed Skrein.
Berdasarkan treler, filem Jurassic World Rebirth nampaknya akan membawa kita kembali ke akar francais ini — dengan suasana yang lebih misteri, lokasi terasing, dan ancaman yang betul-betul tidak dijangka. Elemen sci-fi, kelangsungan hidup, dan konspirasi tampak seimbang, dan kehadiran Scarlett Johansson sebagai teraju utama sememangnya menambah daya tarikan filem ini. Memang tak sabar nak saksikan bagaimana gabungan pelakon baharu dan idea segar ini mampu membawa Jurassic World ke era yang lebih matang dan mendebarkan.
Filem Jurassic World Rebirth akan mula ditayangkan di pawagam pada 3 Julai 2025. Jangan lupa tonton treler berkenaan — dan bersedia untuk kembali ke dunia di mana manusia bukan lagi di puncak rantai makanan!
Post a Comment