SOMETIMES THE MOST DANGEROUS PLACE FOR A DAD IS A FAMILY VACATION. 

Filem Nobody 2 kembali membawa Bob Odenkirk sebagai Hutch Mansell, seorang suami, bapa, dan bekas pembunuh upahan yang cuba menjalani kehidupan biasa selepas peristiwa berdarah dalam filem pertama. Selepas empat tahun berlalu, Hutch masih terikat dengan hutang USD30 juta kepada kumpulan jenayah Rusia, dan kini membayarnya melalui siri misi membunuh yang tiada kesudahan, menyasarkan penjenayah antarabangsa.

Saksikan treler filem Nobody 2 di bawah:

Walaupun Hutch masih mempunyai naluri dan kemahiran membunuh yang tajam, tekanan kerja serta jarak emosional dengan isterinya, Becca (lakonan Connie Nielsen), mula memberi kesan kepada hubungan keluarga mereka. Demi mengeratkan semula ikatan keluarga, mereka merancang satu percutian ringkas bersama anak-anak ke sebuah taman tema yang menyimpan kenangan zaman kanak-kanak Hutch bersama abangnya, Harry (RZA).

Percutian yang sepatutnya tenang bertukar menjadi kekacauan apabila insiden kecil dengan sekumpulan samseng tempatan membawa mereka ke perhatian seorang pengusaha taman tema yang korup (John Ortiz) serta seorang sherif yang tidak kurang mencurigakan (Colin Hanks). Situasi menjadi lebih meruncing apabila Hutch mendapati dirinya menjadi sasaran seorang bos jenayah yang jauh lebih kejam dan tidak waras daripada mana-mana musuh yang pernah dihadapinya – lakonan mantap oleh Sharon Stone.

Filem Nobody 2 diarahkan oleh Timo Tjahjanto, pengarah aksi dari Indonesia yang dikenali dengan gaya ganas dan bergaya. Skrip pula ditulis oleh Derek Kolstad (pencipta francais John Wick) bersama Aaron Rabin. Turut membintangi filem ini ialah Christopher Lloyd sebagai bapa Hutch, menambah dimensi generasi dalam konflik dan aksi yang bakal dipaparkan.

Dengan gabungan aksi intensif, drama keluarga dan watak-watak yang penuh kejutan, filem Nobody 2 dijangka menjadi satu lagi naskhah wajib tonton bagi peminat filem aksi moden. Saksikan di pawagam bermula 14 Ogos 2025.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post