Kami baharu sahaja berkesempatan menonton filem tempatan terbaharu di pawagam iaitu Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria (2025), dan ini adalah review filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria dari kami.
Setelah 6 tahun menunggu sambungan filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo (2019), ternyata filem kedua Ejen Ali ini memang tontonan yang berbaloi ditunggu!
Filem ini bermula terus dari penghujung siri Ejen Ali Musim 3, dan penontonnya sebolehnya ada sedikit pengetahuan berkenaan jalan cerita dari siri Ejen Ali (Musim 1 - 3) dan filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo untuk memahami kejadian yang berlaku dalam filem ini. Namun, ianya masih boleh ditonton secara standalone.
BERKAITAN: Review Filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo (2019) - Filem Animasi Tempatan Yang Membanggakan
Jalan cerita filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria ini bukan sekadar tentang misi atau gadget sahaja, namun terus menyelami dilema Ali sebagai seorang ejen muda M.A.T.A. yang semakin cekap. Kini terlibat dalam projek SATRIA, Ali perlu terus meningkatkan kemahirannya mengendalikan sut baharu berkenaan, atau diambil alih oleh AI. Filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria menampilkan elemen pengkhianatan, kepercayaan, dan pilihan peribadi — dan semua ni disampaikan dengan cara yang sesuai untuk penonton muda dan dewasa. Paling penting, filem kali ini lebih matang dan emosional, dan penonton dapat melihat perkembangan karakter Ali yang lebih mendalam, dengan konflik dalaman yang buat kita rasa lebih dekat dengan wataknya.
Dari aspek animasi, visual dan aksi, sememangnya dapat dilihat peningkatan yang sangat ketara dalam filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria. Nampaknya WAU Animation dan Primeworks Studios dah push habis-habisan kali ni. Animasi makin tajam, sinematografi makin sinematik, dan babak aksi dia memang padu! Babak pertarungan dan aksi lincah watak-wataknya semasa beraksi sememangnya world class dan memukau kami yang menontonnya. Syabas!
Walaupun disajikan dengan aksi mendebarkan dan teknologi futuristik, filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria tetap sarat dengan mesej – pasal persahabatan, tanggungjawab, dan keberanian untuk buat keputusan yang betul walaupun susah. Memang makanan jiwa untuk kanak-kanak, remaja, dan ibu bapa yang tengok sekali.
Kesimpulannya, filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria bukan sekadar sekuel. Ia adalah penanda aras baharu untuk industri animasi tempatan. Dengan jalan cerita yang makin matang, produksi bertaraf antarabangsa, dan karakter yang dekat di hati penonton, filem ni membuktikan bahawa kita memang boleh hasilkan karya yang berkualiti tinggi — dan tak kalah dengan filem luar.
Jangan lupa untuk tunggu di penghujung filem ini sebab ada 1 mid credit scene dan 1 end credit scene. Dan kalau korang peminat animasi, peminat Ejen Ali, atau pun baru nak kenal, memang rugi kalau tak tengok kat pawagam. Sokonglah filem tempatan — lebih-lebih lagi yang sehebat ini!
PENILAIAN: 5/5 BINTANGP/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment