Kami telahpun menonton filem sains fiksyen arahan Zack Snyder yang amat dinantikan iaitu Rebel Moon - Part One: A Child of Fire (2023) di Netflix, dan ini adalah review filem Rebel Moon - Part One: A Child of Fire dari kami.
Filem Rebel Moon - Part One: A Child of Fire mengambil latar dunia fiksyen Motherworld, dengan tentera Imperium, yang mengancam ketenteraman sebuah masyarakat yang bergantung kepada pertanian di Veldt. Disebabkan tekanan, dan kekejaman tentera asing berkenaan diketuai Admiral Atticus Noble (lakonan Ed Skrein) yang telah membunuh ketua masyarakat di situ dan mengugut masyarakat Veldt, telah menyebabkan Kora (lakonan Sofia Boutella), seorang wanita misteri untuk memberontak dan merekrut pahlawan dari pelbagai latar belakang untuk memberontak. Hmm bunyinya macam hampir sama dengan salah satu francais filem berlatarkan galaksi luas kan?
BERKAITAN: Sidang Media Filem Terbaharu Zack Snyder, Rebel Moon - Bakal Ditayangkan Di Netflix Hujung Bulan Ini
Namun apa yang mereka tidak ketahui, Kora sebenarnya merupakan seorang bekas tentera Imperium, yang juga punyai kaitan dengan pemimpin tertinggi mereka. Dalam keterpaksaan, dan keinginan untuk menyelamatkan masyarakat Veldt dari penindasan, Kora menjelajah galaksi mengumpulkan pasukan pemberontaknya, terdiri daripada Gunnar (lakonan Michiel Huisman), Kai (lakonan Charlie Hunnam), Jeneral Titus (lakonan Djimon Hounsou), Nemesis (lakonan Doona Bae), Darrian Bloodaxe (lakonan Ray Fisher) dan Tarak (lakonan Staz Nair).
Menonton filem Rebel Moon - Part One: A Child of Fire ini, kami tak dapat lari dari membuat perbandingan terhadap satu lagi filem sains fiksyen galaksi luas, dan beberapa persamaan antara kedua-duanya. Dari elemen kuasa asing terkuat dengan tentera dan peralatan canggih terkini menentang pemberontak dengan keupayaan terhad, adegan di bar dengan pelbagai makhluk asing yang pelik, sehinggalah penggunaan pedang laser, persamaan demi persamaan berkenaan amatlah ketara.
Dengan durasi tayangan 2 jam 18 minit, filem Rebel Moon - Part One: A Child of Fire masih seronok untuk ditonton, walaupun ada ketikanya terasa meleret. Lebih banyak persoalan sebenarnya selepas filem ini usai ditonton, namun ianya masih lagi menimbulkan keterujaan tersendiri — memberikan ruang untuk penonton berfikir dan menyambungkan klu-klu yang ada dan apa sebenarnya yang berlaku. Diharapkan filem kedua iaitu Rebel One - Part Two: The Scargiver yang dijadualkan untuk tayangan di Netflix pada 19 April 2024 akan memberikan lebih pencerahan tentang jalan cerita Rebel Moon.
PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment