Filem Leave the World Behind yang ditayangkan di Netflix merupakan adaptasi novel 2020 dengan tajuk sama hasil karya Rumaan Alam, dan ini adalah review filem Leave the World Behind dari kami.
Filem Leave the World Behind mengisahkan tentang misteri yang berlaku melibatkan satu keluarga tipikal di Amerika, yang terperangkap dalam satu situasi pelik ketika sedang bercuti di sebuah kawasan pinggir bandar. Percutian yang pada awalnya kelihatan `too good to be true´ akhirnya disulam dengan kejadian aneh dan pelik. Amanda Sanford (lakonan Julia Roberts), suaminya Clay (lakonan Ethan Hawke) dan anak-anak mereka Rose (lakonan Farrah Mackenzie) dan Archie (lakonan Charlie Evans) mendapat rumah yang disifatkan agak mewah untuk didiami sepanjang percutian mereka, lari seketika dari kesibukan bandar dan kerja yang tak pernah habis.
Keanehan bermula ketika mereka bersantai di pantai apabila terdapat kapal besar yang tiba-tiba melanggar pantai. Di malamnya pula, terdengar ketukan di pintu, dan muncul seorang lelaki kulit hitam, G.H. Scott (lakonan Mahershala Ali), dan anak perempuan remajanya, Ruth (lakonan Myha’la). Satu demi satu kejadian aneh berlaku, bermula dengan ketiadaan talian telefon dan internet, kemunculan aneh sekumpulan rusa di laman rumah berkenaan dan kemudiannya sekumpulan flamingo di kolam renang rumah berkenaan, bunyi nyaring yang tiba-tiba muncul sehingga memecahkan cermin tingkap dan lain-lain lagi. Apakah yang sebenarnya berlaku? Adakah disebabkan pencerobohan makhluk asing? Ataupun konspirasi tertinggi kerajaan? Jangan lupa saksikan filem Leave the World Behind di Netflix.
Dari senarai pelakon-pelakon filem ini (yang tidaklah ramai), dapat disimpulkan yang filem Leave the World Behind ini bukanlah dihasilkan secara sambil lewa. Aspek pergerakan kamera dan teknik penggambaran yang digunakan berjaya menampilkan elemen misterius dan terasing dari dunia luar, suatu perkara yang kami rasakan agak sukar ditampilkan tanpa kesan khas. Shots untuk filem Leave the World Behind ini, ditambah dengan lakonan cemerlang barisan pelakonnya, memberikan kesan emosi mendalam kepada penonton, menarik keluar seketika dari realiti dan membuatkan kita berfikir “Apakah yang kita akan buat sekiranya kita yang berada dalam situasi terasing dan terdesak sebegitu?”
Dengan durasi tayangan 2 jam 18 minit, filem Leave the World Behind masih seronok untuk ditonton, walaupun ada ketikanya terasa meleret dan agak draggy. Lebih banyak persoalan sebenarnya selepas filem ini usai ditonton, namun ianya masih lagi menimbulkan keterujaan tersendiri — memberikan ruang untuk penonton berfikir dan menyambungkan klu-klu yang ada dan apa sebenarnya yang berlaku.
Post a Comment