Episod pertama siri terbaharu Disney+, iaitu Secret Invasion telahpun ditayangkan di saluran penstriman Disney+ Hotstar pada semalam, dan ini adalah review Secret Invasion episod 1 daripada kami.


Dalam siri Secret Invasion, Nick Fury mengetahui tentang pencerobohan Bumi oleh puak Skrull yang merupakan bangsa yang mampu untuk shapeshifting. Fury menyertai sekutunya, termasuk Everett Ross, Maria Hill dan Skrull bernama Talos (yang pernah muncul dalam filem Captain Marvel sebelum ini, yang kini telah membina hidupnya di Bumi). Bersama-sama, mereka berlumba mengejar masa untuk menggagalkan pencerobohan Skrull yang akan berlaku, seterusnya menyelamatkan dunia.

Episod pertama siri Secret Invasion semalam mengambil latar kejadian di Moscow, di mana Talos bekerjasama dengan Everett K. Ross untuk menghentikan pencerobohan bangsa Skrull terhadap Bumi. Nick Fury yang berada di pengkalan angkasa S.A.B.E.R. telah dipanggil balik ke Bumi oleh Maria Hill untuk membantu. Namun sekembalinya ke Bumi, Fury mendapati yang Talos telah disingkirkan dari Skrull Council yang kini telah dikuasai oleh Gravik yang cenderung kepada pemberontakan. Disebabkan biologi bangsa Skrull yang mahir menukar rupa bentuk, menyebabkan bangsa berkenaan boleh menyusup dan menyamar menjadi sesiapa sahaja, dan ini menimbulkan ancaman terhadap semua pihak. 


G'iah (lakonan Emilia Clarke) adalah anak kepada Talos yang telahpun meningkat dewasa, namun kini telah berpihak kepada pihak pemberontak. Talos yang telah sekian lama tak berjumpa G'iah, cuba memujuk G'iah untuk kembali kepadanya. G'iah mendedahkan perancangan pihak pemberontak untuk meletupkan 3 bom di Vossoyedineniye Square di satu acara keramaian, menyebabkan Fury, Hill dan Talos terdesak mengejar masa untuk menghentikan serangan berkenaan. Berjayakah mereka? Jangan lupa saksikan episod pertama Secret Invasion di Disney+ Hotstar


Masih terlalu awal untuk menilai siri Secret Invasion ini, namun kejutan di penghujung episod 1 sudah tentunya berjaya membuatkan kami ternanti-nantikan sambungan di episod 2 nanti. Apakah kejadian dalam siri Secret Invasion nanti akan memberi kesan langsung kepada MCU secara keseluruhan? Sama-sama kita nantikan.


Siri Disney+ Secret Invasion dibintangi oleh Samuel L. Jackson, Ben Mendelsohn, Cobie Smulders, Martin Freeman, Kingsley Ben-Adir, Charlayne Woodard, Killian Scott, Samuel Adewunmi, Dermot Mulroney, Christopher McDonald dan Katie Finneran, selain turut menampilkan Emilia Clarke, Olivia Colman dan Don Cheadle.

Episod baharu siri Secret Invasion akan ditayangkan di Disney+ Hotstar pada setiap hari Rabu sebanyak 6 episod.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post