Kami telahpun menonton filem tempatan yang mendapat sambutan hangat, iaitu Polis Evo 3 (2023), dan ini adalah review filem Polis Evo 3 dari kami.

Sekali lagi, filem ketiga dalam francais filem Polis Evo ini membawakan kisah Inspektor Khai (Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak). Jika filem Polis Evo (2015) membawa elemen pengedaran dadah, manakala filem Polis Evo 2 (2018) membawakan elemen kumpulan militan, filem Polis Evo 3 ini pula membawa mereka berhadapan ancaman yang kelihatan biasa, namun berjaya membawa kesan mendalam kepada penonton.  

Pengarahnya, Syafiq Yusof mengambil langkap bijak dengan memperkenalkan watak Reza (lakonan Sharnaaz Ahmad), seorang bekas anggota polis dan bekas rakan sekerja Khai yang ingin membalas dendam atas kesengsaraan yang dialaminya. Penonton dibawa menyelami hati Reza, `motivasi´yang mendorongnya membalas dendam, dan kesengsaraan dihadapinya akibat dikhianati rakan sejawatnya. Untuk elemen ini, pujian kami berikan kepada Sharnaaz kerana berjaya membawakan watak Reza dengan cemerlang sekali, dengan level psiko dan kejam yang tak terjangkau akal. Jarang-jarang filem tempatan dapat menampilkan watak penjahat yang terkesan di hati, dan filem Polis Evo 3 inilah salah satu yang berjaya memecahkan tembok berkenaan.

Sejak mengikuti filem Polis Evo dan Polis Evo 2, ternyata jalan cerita filem Polis Evo 3 ini telah menjadi semakin matang. Terdapat pertambahan watak-watak baharu yang kami rasakan berpotensi sekiranya dikembangkan lebih jauh lagi. Babak aksi juga usah dipertikai, terlihat lebih tersusun dengan aksi pertarungan dan kejar mengejar yang mendebarkan. Seperti kami katakan tadi, peranan Sharnaaz Ahmad dalam filem ini antara yang menghidupkan 'debaran' penonton, menimbulkan kebencian dan rasa meluat sesiapa yang menontonnya.

Watak-watak baharu yang ditampilkan Syafiq Kyle (sebagai Inspektor Dani), Douglas Lim (sebagai Inspektor Dell), Farali Khan (sebagai Inspektor Julie) dan Fauzi Nawawi (sebagai ACP Farouk) juga tidak kurang hebatnya. Pengarah berjaya menampilkan skill setiap ahli pasukan UKAP ini sesuai dengan huraian kepakaran bidang watak masing-masing, contohnya Inspektor Julie sebagai penembak tepat (sniper) dan Inspektor Dani sebagai pakar pemusnah bom. Elemen aksi melibatkan watak mereka juga benar-benar hidup tanpa terlalu kelihatan dibuat-buat dan dipaksa-paksa. Malah, kami rasakan pelakon watak Inspektor Julie, Farali Khan memang sesuai untuk watak aksi sebegitu. Mungkin jika ada filem aksi akan datang melibatkan watak utama wanita, beliaulah antara yang paling sesuai dipilih.

Elemen light humour dikendalikan dengan baik, tidak keterlaluan dan kena pada masanya. Watak yang paling mencuri perhatian sudah tentunya Michael Ang sebagai Chao, ketua kongsi gelap yang dijejaki Khai dan Sani. Walaupun pada awalnya nampak ganas dan menggerunkan, tetapi elemen kelakar berjaya juga diselitkan dalam beberapa babak melibatkan watak berkenaan. Itu belum sebut lagi babak 'puting bodo' Khai yang ternyata menggegarkan pawagam dengan lawak dan dialog bersahaja yang dilontarkan. 

Secara keseluruhannya, kami berasa puas menonton filem Polis Evo 3 ini. Ternyata francais filem Polis Evo menunjukkan kematangan apabila semakin improve di setiap filem-filemnya, terutama filem Polis Evo 3 ini yang kami rasakan paling terbaik. Yang penting, pengarah tidak ketinggalan menyelitkan nama Rafael yang sudah menjadi staple untuk francais filem Polis Evo ini sejak dari filem pertama lagi. 

PENILAIAN: 5/ 5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post