Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem aksi yang amat dinantikan, iaitu Transformers: Rise of the Beasts (2023) bertempat di TGV 1 Utama pada Selasa minggu lalu. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Transformers: Rise of the Beasts dari kami.

Kalau diikutkan, beberapa filem Transformers terdahulu (secara spesifiknya Transformers: Age of Extinction dan Transformers: The Last Knight) hampir menutup minat kami terhadap filem-filem Transformers yang bakal dihasikan selepas itu. Manakan tidak, jalan cerita yang entah apa-apa, lawak-lawak yang out of place, watak manusia yang tak relevan dengan jalan cerita, malah watak robot yang meh dan menjengkelkan, seakan menjadi resepi bunuh diri untuk francais yang pada mulanya amat kami nantikan.

Namun persepsi itu sedikit berubah apabila filem Bumblebee (2018) dihasilkan, memberikan sedikit nafas lega buat kami. Jadi adakah filem Transformers: Rise of the Beasts ini sesuai ditonton?

Jawapan mudahnya, Ya! Walaupun masih belum memuaskan hati kami, ianya masih menghiburkan dan mampu membuatkan penonton kekal menonton sehingga ke penghujung, yang amat jauh berbeza dengan filem Transformers: The Last Knight (yang kami tersangatlah struggle nak menghabiskan tontonan). 

Dari sejak mula filem, penonton disajikan dengan kisah backstory yang menceritakan sejarah bangsa Maximals, dan bagaimana mereka boleh sampai ke Bumi. Penonton juga sudah sedari awal dipertontonkan dengan ancaman Unicron, sebuah robot gergasi berbentuk planet yang menggerunkan. Ketua pasukan Maximals pada awalnya adalah Apelinq (yang boleh bertukar menjadi gorilla) sebelum terkorban di tangan konco Unicron iaitu Scourge dan menyerahkan tugas ketua kepada Optimus Primal (yang juga boleh bertukar menjadi gorilla). Optimus Primal dan beberapa anggota Maximals berjaya melarikan diri menggunakan kunci Transwarp, meninggalkan Unicron yang seterusnya memusnahkan planet tempat asal mereka. 

Kemudiannya, penonton terus di bawa ke Bumi di tahun 1994, mengambil latar 7 tahun selepas kejadian dalam filem Bumblebee (2018), di mana Optimus Prime dan pasukan Autobots masih terperangkap di Bumi dan tidak punyai cara untuk kembali ke planet Cybertron. Namun, kunci Transwarp yang diaktifkan secara tiba-tiba oleh seorang gadis bernama Elena Wallace (lakonan Domique Fishback) membuka jalan untuk mereka kembali ke Cybertron. Malangnya, pengaktifan kunci berkenaan berjaya dikesan oleh Scourge, membawanya datang ke Bumi seterusnya cuba mendapatkan kunci berkenaan. Berjayakah Scourge dan Unicron mendapatkan kunci berkenaan? Jangan lupa tonton filem Transformers: Rise of the Beasts yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Setelah beberapa filem yang hanya berkisarkan watak Bumblebee, filem Transformers: Rise of the Beasts ini dilihat mengangkat Mirage (Autobot yang boleh bertukar menjadi kereta Porsche) pula sebagai penyeri cerita. Interaksi Mirage bersama Noah (lakonan Anthony Ramos) banyak menceriakan suasana, kelihatan hidup dan menimbulkan beberapa elemen lucu dan menghiburkan. 

Namun seperti mana filem-filem terdahulu, watak-watak manusia yang ditampilkan tidak berguna langsung, dan tidak membantu jalan cerita. Watak Noah mungkin OK, kerana lebih signifikan, namun apa guna ditampilkan watak Elena pun kami tidak pasti. Ada lebih baik jika interaksi Mirage dan Noah sahaja dijadikan fokus, dan tidak perlu watak manusia kedua yang tidak berkaitan. 

Pada pengamatan kami, tarikan utama filem Transformers: Rise of the Beasts ini adalah adegan pertarungan, yang kelihatannya diadun secukup rasa dan tidak keterlaluan. Pengenalan watak-watak robot dalam filem ini juga agak baik, walaupun kami masih lagi kecewa kenapa Bumblebee tak habis-habis dengan masalah peti suaranya. Sudah-sudahlah, dah berapa filem masih lagi Bumblebee tak boleh bercakap macam biasa, dah naik bosan melihatnya.

Selain itu. fan service dalam filem Transformers: Rise of the Beasts ini juga diadun baik. Kami sangat teruja melihat gerakan transformasi Optimus Prime menjadi lori di akhir filem seperti mana dalam siri kartun asal. Malah, mendengarkan Optimus Primal menuturkan "Rhinox, Cheetor, maximize!" juga menimbulkan keterujaan yang bukan sedikit buat kami. 

Namun, kekurangan filem ini tetaplah ada. Agak mengecewakan apabila interaksi robot hanya melibatkan beberapa watak sahaja. Seolah-olahnya watak Cheetor dan Rhinox hanyalah watak tempelan. Malah, kami tersangat kecewa apabila watak Wheeljack sekali lagi menjadi bahan jenaka dan `dirosakkan' sama seperti filem-filem terdahulu. Dan apa kaitan tajuk Rise of the Beasts, sedangkan hanya beberapa beasts sahaja yang kelihatan?

Di penghujung filem, terdapat mid credit scene yang ternyata mengejutkan rata-rata peminat, terutamanya kami. Apakah kejutan itu? Yang itu kenalah saksikan di pawagam. Namun, ianya ternyata membuka ruang filem crossover (dan tentunya merchandise) yang agak besar untuk Hasbro nanti.

PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post