Kami telahpun menonton sambungan filem aksi yang telah lama kami nantikan, iaitu Extraction 2 (2023) di Netflix, dan ini adalah review filem Extraction 2 dari kami.

Sambungan kepada filem Extraction (2020) ini mengisahkan tentang Tyler Rake (lakonan Chris Hemsworth), seorang tentera upahan yang telah bersara selepas terselamat dalam satu misi berbahaya di Bangladesh. Walau bagaimanapun, beliau didatangi oleh seorang lelaki asing (lakonan Idris Elba) yang inginkan bantuan Tyler untuk menyelamatkan seorang wanita bernama Ketevan (lakonan Tinatin Dalakishvili) dan anak-anaknya Sandro (lakonan Andro Japardize) dan Nina (lakonan Marta Kovziashvili), yang secara kebetulannya merupakan adik kepada bekas isterinya Mia (lakonan Olga Kurylenko) yang ditahan di penjara. Tyler menerima tugasan tersebut demi menebus kesilapannya kepada bekas isterinya sebelum ini. Namun, pelbagai kejadian tak dijangka berlaku. Berjayakah Tyler menyelesaikan misi berkenaan? Kenapakah Ketevan dan kanak-kanak berkenaan ditahan di penjara? Jangan lupa saksikan filem Extraction 2 di Netflix. 

Sekali lagi, pengarah Sam Hargrave, berjaya menterjemahkan aksi pertempuran dan pertarungan yang mengasyikkan di layar TV. Bagi kami yang ternanti-nantikan aksi Chris Hemsworth sebagai Tyler Rake, ternyata amat berpuas hati dengan penampilan Chris dalam filem Extraction 2 ini. Ternyata inilah antara genre yang sesuai dimainkan oleh beliau, berbanding watak Thor dilakonkannya dalam filem MCU yang ternyata semakin mengecewakan. Walaupun watak cliche, namun ianya berjaya menampilkan sisi sebenar Chris sebagai pelakon filem aksi yang berwibawa. 

Selain Chris, adalah tidak adil jika membicarakan filem Extraction 2 ini tanpa menyebutkan 2 lagi watak iaitu Nik Khan (lakonan Golshifteh Farahani) dan Yaz Khan (lakonan Adam Bessa), yang merupakan support team kepada Tyler dalam misi ini, dan antara watak-watak dalam memastikan misi berkenaan berjalan lancar. Dinamik perhubungan kedua pelakon ini yang digambarkan sebagai adik-beradik ternyata membantu membawakan situasi dunia sebenar, apatah lagi misi yang pada awalnya hanya misi mudah dan straight forward, menjadi rumit disebabkan keputusan bodoh seorang kanak-kanak sehingga menyebabkan salah seorang dari mereka terbunuh.

Namun, motif watak penjahat seakan agak tipikal dan biasa dilihat dalam mana-mana filem sebelum ini. Penjahat yang digambarkan hebat dan lahir hasil penglibatan perang saudara dan kejam, akhirnya tumpas disebabkan sikap terburu-buru, mengikut perasaan, ego melampau dan tidak mendengar cakap orang bawahan. 

Bagi mereka yang pernah menonton filem terdahulu, sudah tentunya berpuas hati dengan babak aksi pertarungan yang diaplikasikan secara single-shot action. Kegemaran kami sudah tentunya babak melarikan tahanan dari penjara, yang begitu mendebarkan dan mengujakan.

Kesimpulannya, filem Extraction 2 merupakan filem aksi yang menarik, walaupun menampilkan jalan cerita yang boleh dijangka kesudahannya. Di penghujung filem, ianya membuka jalan kepada filem sambungan, bila mana watak misteri lakonan Idris Elba seakan cuba merekrut Tyler dan pasukannya untuk bekerja di bawah organisasi rahsia.

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post