Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem permainan video yang amat dinantikan, iaitu The Super Mario Bros. Movie (2023) pada Selasa lalu di GSC IOI City Mall. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem The Super Mario Bros. Movie dari kami.

BERKAITAN: Saksikan Treler Filem The Super Mario Bros. Movie, Bakal Ditayangkan April 2023

Filem The Super Mario Bros. Movie mengisahkan tentang dua beradik, Mario dan Luigi yang baharu sahaja memulakan perniagaan perkhidmatan pembentungan di Brooklyn. Walaupun tidak mendapat sokongan kenalan dan keluarga, mereka berdua nekad menjadikan perkhidmatan tersebut sebagai kerjaya. Satu hari, peluang terbuka luas buat mereka apabila satu kejadian limpahan air dari paip bocor melanda kota, membawa mereka berdua menemui laluan rahsia ke satu dunia asing dan menyebabkan Mario dan Luigi terpisah. 

Di situ, Mario terdampar di Mushroom Kingdom yang diperintah oleh Princess Peach, manakala Luigi tercampak ke Dark Lands di bawah kawalan raja kejam, Bowser. Dalam pengembaraan Mario menjejak Luigi, pelbagai peristiwa berlaku, sehinggalah Mario akhirnya membantu Princess Peach menghalang ancaman Bowser yang mengugut untuk menyerang kerajaan Mushroom Kingdom sekiranya lamarannya tidak diterima. Dapatkah Mario menemui Luigi semula, seterusnya kembali ke dunia realiti di Brooklyn? Jangan lupa saksikan filem The Super Mario Bros. Movie yang kini ditayangkan di pawagam.

Bagi kami yang membesar dengan permainan video Super Mario Bros., filem The Super Mario Bros. Movie ini sememangnya amatlah dinantikan. Dan ternyata, filem ini tidak mengecewakan! Boleh dikatakan hampir kesemua reference dan elemen yang membuatkan permainan video Super Mario Bros. diingati, ditampilkan dalam filem. Dari opening sequence, muzik latar, signature music Mario, malah penampilan adegan seolah permainan dalam game Mario Kart turut ditampilkan! Ini semestinya fans services yang tentunya amat dihargai oleh para peminat permainan video Super Mario Bros.

Selain watak Mario dan Luigi, penampilan watak-watak lain juga tidak kurang hebatnya. Watak-watak yang terkenal dalam game Super Mario Bros. juga ditampilkan. Jika sebelum ini kami ada membaca tentang kontrovesi pemilihan lenggok suara Mario oleh pelakon suara watak berkenaan, Chris Pratt), namun selepas menontonnya, ianya ok sahaja dan masih tidak kedengaran pelik. Paling mencuri tumpuan sudah tentunya watak Bowser (lakonan suara oleh Jack Black). Awalnya tampil ganas, namun ada sisi kelakar ditampilkan untuk watak ini, menyebabkan penonton tak kering gusi dengan keletahnya. 

Secara keseluruhannya, filem The Super Mario Bros. Movie ini merupakan filem yang sesuai ditonton di cuti panjang sempena musim perayaan ini. Filem ini membuatkan kami terasa ingin bermain semula game Super Mario Bros. selepas menonton. Jangan lupa tunggu di penghujung filem, kerana ada satu mid credit scene dan satu end credit scene bagi penggemar setia Super Mario Bros.

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post