ACT 2 Pictures baru sahaja memperlihatkan teaser trailer filem terbaharu mereka, iaitu MALBATT: Misi Bakara melalui perkongsian di Youtube mereka. Menampilkan kisah sebenar tugas penyelamatan tentera Amerika Syarikat oleh pasukan MALBATT dari Malaysia, filem yang dihasilkan dengan bajet RM20 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada tahun ini, menjadi antara filem paling mahal pernah dihasilkan di Malaysia.

Saksikan teaser trailer filem MALBATT: Misi Bakara di bawah:

Filem MALBATT: Misi Bakara mengambil inspirasi dari kisah sebenar di sebalik insiden terhempasnya helikopter Black Hawk kepunyaan tentera Amerika Syarikat, yang kisahnya diabadikan dalam filem Black Hawk Down (2001) arahan Ridley Scott. Kejadian tersebut menampilkan tindakan berani mati anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (MALBATT) 1 dalam usaha menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993. Namun, filem tersebut hanya menonjolkan kehebatan tentera Amerika sahaja, dan hanya sekali perkataan Malay Army disebut, sekaligus 'membenam' peranan besar tentera Malaysia dalam misi tersebut.

Filem MALBATT: Misi Bakara diarahkan oleh Adrian Teh, dan menampilkan barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan Fauzi Nawawi.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post