Filem Brahmastra Part One: Shiva membawakan legenda dari peradaban Hindu ke layar perak. Mengisahkan tentang Astra, yang merupakan hadiah daripada alam semesta yang terdiri dari elemen semulajadi (Tanah, Angin, Air dan Api), dan tersembunyi dalam objek biasa yang digunakan dalam kehidupan seharian. Astra berkeupayaan memberikan kuasa luar biasa kepada sesiapa yang memilikinya. Seterusnya penonton diperkenalkan dengan watak seorang DJ bernama Shiva (lakonan Ranbir Kapoor), seorang pemuda ceria namun seringkali diganggu bayangan berkaitan kematian dan kemusnahan. Dalam satu pertemuan tak dijangka, dia bertemu Isha (lakonan Alia Bhatt), seorang gadis dari keluarga berada dan sekaligus merasa jatuh hati kepada gadis tersebut. 

Namun, rupa-rupanya ianya petanda kebangkitan satu kuasa asing dalam dirinya, menyebabkan dia terpaksa berhadapan dengan kuasa jahat yang mahu mengambil alih dunia, dan mengancam nyawa mereka yang rapat dengannya. Dalam penjelajahan menghapuskan kuasa jahat itu, Shiva berjumpa dengan sekumpulan manusia yang berupaya membantunya, memastikan dirinya tidak berjuang berseorangan. Apakah kesudahannya? Jangan lupa saksikan filem Brahmastra Part One: Shiva yang kini boleh ditonton di Disney+ Hotstar.

Setelah membaca tajuk filem ini, dan setelah menonton filem Brahmastra Part One: Shiva, boleh kami katakan yang pengarahnya cuba menghasilkan universe filem ini sepertimana MCU. Dan pembacaan kami juga mendapati yang filem ini merupakan filem pertama dalam trilogi filem yang akan dikenali dengan nama Astraverse. Cuma harapan kami agar penerbit dan pengarah filem ini tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan sambungan kepada filem Brahmastra Part One: Shiva ini.

Dari segi sinematografi, filem Brahmastra Part One: Shiva berjaya menampilkan kesan khas dan babak CGI yang agak dan dan kemas (walaupun ada juga adegan yang kelihatan tidak kemas). Babak pertarugan, olahan kuasa yang ditampilkan watak protagonis dan antagonis, nampak cantik dan menarik di pandangan mata. Sesuai dengan tema filem Bollywood, tidak sahkan sekiranya tiada elemen permainan warna-warna indah, diselang seli dengan olahan lagu dan muzik yang membuai jiwa. Ini membuatkan tempoh tayangan filem Brahmastra Part One: Shiva selama 2 jam 47 minit tidak terasa berlalu.

Sebagai origin story dan filem pertama, filem Brahmastra Part One: Shiva bergelut untuk mengambil masa bagi menerangkan tentang mitos dan elemen-elemen peradaban Hindu yang asing bagi mereka yang tidak mengikuti atau membacanya. Walau bagaimanapun, ianya dibantu dengan aspek visual yang menarik dan mudah difahami. Mungkin selepas menonton filem kedua dan ketiga nanti, akan lebih banyak pemahaman terhadap mitos ini dapat dihadam.

Apa yang menarik. filem Bollywood terutamanya amat bijak dalam pemilihan pelakon yang bukan hanya bersandarkan rupa, tetapi ternyata boleh berlakon. Filem Brahmastra Part One: Shiva ini juga tidak ketinggalan, apabila menampilkan pasangan suami isteri di dunia sebenar sebagai watak utama. Watak-watak lain, baik protagonis mahupun antagonis juga tampil meyakinkan. Menariknya, kemunculan Amitabh Banchan dan Shah Rukh Khan ternyata bukanlah hanya sekadar cameo, malah seperti penghormatan dan memperlihatkan kedua-dua legenda Bollywood tersebut memberikan blessing kepada angkatan pelakon generasi baharu Bollywood untuk meneruskan legasi mereka. 

Kesimpulannya, filem Brahmastra Part One: Shiva ini masih berbaloi ditonton, walaupun tempo ceritanya masih agak bersepah dan terkadang kelihatan meleret. Lebih-lebih lagi sekarang boleh ditonton dari ruang tamu rumah anda sahaja melalui Disney+ Hotstar.

RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post