Poochandi merupakan filem tempatan yang mengisahkan tentang Murugan, seorang wartawan/ jurugambar sebuah majalah di India dan mengembara ke Malaysia untuk mengumpulkan bahan berkaitan kisah dan kejadian paranormal. Kisah yang pada awalnya kelihatan hanyalah perkongsian kisah dongeng tempatan biasa, kemudiannya bertukar menjadi misteri sebenar apabila beliau berjumpa dengan Shankar, seorang pemuda tempatan yang berkongsikan kisah mistik yang berlaku kepadanya dan rakan-rakannya sebelum ini. Murugan kemudiannya mendalami misteri berkenaan, tetapi mendapati ianya lebih dahsyat daripada yang dibayangkan. Apakah misteri berkenaan, dan dapatkah Murugan mengumpulkan kisah yang diinginkan? Jangan lupa saksikan filem Poochandi yang kini boleh ditonton di Netflix.

Menariknya filem Poochandi ini, adalah dengan menggunakan tema permainan Spirit of the Coin yang biasa dimainkan di asrama-asrama sekolah dan universiti tempatan, sekaligus memudahkan pemahaman para penonton. Ianya juga disulami dengan mitos Hindu dan sejarah peradaban silam di India, menjadikan perjalanan filem ini tidak mendatar dan 'mencangkuk' penonton untuk kekal menonton filem ini sehingga habis. 

Barisan pelakon yang ditampilkan dalam filem Poochandi ini juga wajar diberikan pujian. Walaupun tidak ramai (dan ada kalanya lakonan mereka seakan mendatar), ada beberapa adegan yang menyerlahkan kemampuan mereka untuk bermain dengan emosi dan bertukar intensiti. Barisan pelakon seperti RJ Ramana (sebagai Murugan), Ganesan Manohgaran (sebagai Guru), Tinesh Sarathi Krishnan (sebagai Shankar) dan Logan Nathan (sebagai Anbu) memberikan lakonan yang berkesan. 

Sebagai sebuah filem seram, Poochandi berjaya menampilkan elemen seram yang mengejutkan. Elemen jumpscare tidak berlebih-lebihan dan kena pada tempatnya. Ada kalanya suasana seram diselitkan dengan dialog kelakar, sesuatu yang jarang digunakan untuk filem seram seserius ini. Watak antagonis juga berjaya menampilkan ketakutan sebenar, bukan hanya entiti mistik biasa yang lemah dan membosankan. Menariknya juga, filem Poochandi menampilkan beberapa plot twist yang ternyata tak terjangka, dan hanya dapat dihargai bagi mereka yang menonton filem ini. 

Sebagai penutup, filem Poochandi ini adalah sebuah filem seram tempatan yang wajar ditonton. Bagi kami yang pertama kali menonton filem Tamil di Netflix, ianya ternyata pilihan tepat. Agak rugi sebenarnya kerana kami tidak sempat menontonnya di pawagam, walaupun membaca rata-rata komen yang diberikan untuk filem Poochandi ini sebagai positif sebelum ini.

RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post