Glass Onion: A Knives Out Mystery mengisahkan tentang detektif terkemuka Benoit Blanc (lakonan Daniel Craig) yang menerima sebuah kotak pelik mengandungi jemputan parti yang akan diadakan di sebuah pulau terpencil di Greece kepunyaan billonaire Miles Bron (lakonan Edward Norton). 

Selain Benoit, Miles turut menjemput rakan-rakan rapatnya (yang digelar “disrupters”) untuk berparti di rumah agamnya yang dikenali dengan nama Glass Onion — mengambil nama sebuah bar di mana kesemua mereka mula berjumpa suatu masa dulu. Antara rakan rapat Miles yang hadir adalah seperti pereka fesyen Birdie Jay (lakonan Kate Hudson), bintang media sosial kontroversi Duke Cody (lakonan Dave Bautista), saintis terkenal Lionel Toussaint (lakonan Leslie Odom Jr.), ahli politik Claire Debella (lakonan Kathryn Hahn) dan rakan perniagaan Miles suatu masa dulu, Cassandra Brand (lakonan Janelle Monáe).

Parti yang pada awalnya diisi dengan permainan meneka siapakah yang bakal 'membunuh' Miles, akhirnya bertukar menjadi permainan maut apabila ada yang terbunuh, menyebabkan Blanc terpaksa menggunakan kemahiran detektifnya untuk menyelesaikan kes tersebut. Jangan lupa saksikan filem Glass Onion: A Knives Out Mystery yang kini sedang ditayangkan di Netflix.

BERKAITAN: Teaser Trailer Filem Glass Onion: A Knives Out Mystery Diperlihatkan, Bakal Ditayang Disember Ini


Glass Onion: A Knives Out Mystery merupakan sambungan kepada filem Knives Out (2019) yang juga diarahkan oleh Rian Johnson, menampilkan semula Daniel Craig sebagai detektif Benoit Blanc. Namun berbeza dengan filem terdahulu, filem Glass Onion: A Knives Out Mystery boleh dikatakan tiada yang istimewa. Kewujudan watak-watak yang dikatakan sahabat baik dan rakan akrab kelihatan hanyalah sebagai sekumpulan manusia yang berkumpul dalam sebuah rumah agam yang tersergam indah, semata-mata untuk menghadiri sebuah parti. Ada kalanya chemistry yang cuba ditonjolkan juga tidak kelihatan. Namun, kami tertarik dengan lakonan Janelle Monáe (sebagai Cassandra 'Andi' Brand) dan kami merasakan lakonan beliau sangatlah baik dan berjaya menampilkan emosi yang berbeza-beza. Seolah-olah ada satu suis yang membolehkan beliau menukar mood pada bila-bila masa sahaja.


Filem Glass Onion: A Knives Out Mystery ini ternyata satu letdown untuk peminat filem Knives Out. 'Misteri besar' yang di'tease' sejak sekian lama dengan mudah diselesaikan oleh Benoit Blanc. Adegan itu sendiri sahaja dengan mudahnya boleh dianggap sebagai anti-klimaks dan menghilangkan terus keseronokan kami untuk menonton filem ini sehingga ke hujung. Kalau tak disebabkan misteri kematian salah seorang watak utamanya, mungkin kami akan menamatkan tontonan lebih awal lagi.

BERKAITAN: Filem Glass Onion: A Knives Out Mystery Akan Ditayangkan Di Netflix Pada Disember Ini!

Dari segi watak, Daniel Craig sangat cemerlang sebagai Benoit Blanc. Filem Glass Onion: A Knives Out Mystery ini menampilkan sisi watak berkenaan yang lebih santai, namun masih memperlihatkan tahap awareness, pemerhatian tajam, dan pemikiran kritis watak tersebut. Ternyata kehadiran detektif yang pada awalnya kelihatan out of place di kalangan rakan-rakan Miles membantu menyelesaikan segera misteri yang berlaku, sebelum lebih banyak nyawa melayang. 

Kesimpulannya, filem Glass Onion: A Knives Out Mystery masih seronok ditonton sebagai sebuah filem. Namun ada adegan yang dirasakan agak meleret, boleh dijangka dan tidaklah terlalu misteri. Jika dibandingkan dengan filem terdahulu, ternyata Knives Out lebih outstanding

RATING SEMBANGFILEM: 3.5/5 BINTANG

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post