Beto Kusyairy (Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2015), Nabila Huda (Pelakon Wanita Terbaik FFM-28) dan Kodi Rasheed (Pelakon Harapan Lelaki FFM-27) akan bergabung dalam sebuah supertele atau filem seram berjudul Halimun yang akan ditayangkan pada 5 November di Astro First. Selain pelakon hebat yang dinyatakan, Halimun juga juga akan menampilkan penerima Anugerah Artis Baharu Popular ABPBH-33, Chubb-E bersama penampilan istimewa pelakon terkenal 1990-an, Harun Hashim dan pelakon remaja berbakat besar, Puteri Balqis Azizi.

Halimun yang juga bermaksud “Kabus” mengisahkan tentang dugaan misteri yang dihadapi oleh Zahir (Beto) dan Laila (Nabila) setelah 4 bulan mereka mendirikan rumah tangga. Oleh kerana masalah yang dihadapi berkaitan dengan hal ghaib, Zahir terpaksa meminta bantuan kawan lamanya – Adi (Kodi), seorang pengkaji perubatan tradisional yang mempunyai kebolehan merawat. Filem yang menjalani penggambaran selama 15 hari ini juga memaparkan beberapa adegan lagak ngeri yang dilakonkan sendiri oleh pelakon Beto Kusyairy.

Diterbitkan oleh Azura Pictures Sdn Bhd, Halimun merupakan taruhan terbaru syarikat penerbitan ini yang sebelum ini aktif dalam penerbitan drama dan program program TV. Halimun juga mendapat sentuhan pengarahan dan skrip oleh Muzzamer Rahman, pengarah yang baru sahaja memenangi Anugerah Lakonlayar Terbaik di Malaysian International Film Festival ke-5 untuk filem Prebet Sapu yang menjadi wakil Malaysia ke Anugerah OSCARS 2021. Menurut Muzzamer, beliau menghasilkan Halimun bukan sekadar ingin menceritakan tentang perasaan seram kepada sesuatu yang kita tidak nampak atau ghaib, tetapi ingin memaparkan juga ketakutan apabila orang yang kita sayang-ghaib, atau hilang.

Selain itu, sinematografi Halimun pula mendapat sentuhan Idham Mad Din yang pernah menerima Anugerah Videografi Terbaik Anugerah Skrin 2016. Skor muzik Halimun pula dihasilkan oleh Pemenang Skor Muzik Asal Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Reinchez Ng manakala Penataan Bunyi pula dihasilkan oleh Mohsin Othman, calon Penataan Bunyi Terbaik untuk dua filem di Festival Filem Malaysia ke-31.

Bukan itu sahaja, Azura Pictures juga bekerjasama dengan komposer Amylea Azizan untuk menghasilkan lagu tema Halimun yang berjudul “Kabus”. Lagu ini telah dinyanyikan oleh Afif Tirmizie – yang sebelum ini merupakan ahli kumpulan The Fabulous Cat dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.

Sinopsis rasmi filem Halimun adalah seperti berikut:

Halimun (yang bermaksud Kabus) mengisahkan tentang gangguan yang dialami Zahir semenjak berkahwin dengan Laila. Kejadian aneh ini mula memuncak ketika Laila mengandung 4 bulan dan Zahir berkerja di luar kawasan. Laila cuba mencederakan dirinya dan membuatkan Zahir meminta bantuan Adi, sahabat lama semenjak zaman universiti untuk membantu. Adi datang ke rumah Zahir untuk menyelesaikan masalah gangguan tersebut. Selepas kejadian tersebut, Zahir berpindah dan tinggal di kampung. Adi pula kerap mendapat mimpi misteri berkaitan Zahir dan Laila. Adi meminta pandangan penyarahnya, Prof Sulaiman berkaitan hal ini, dan Prof Sulaiman memintanya menyelesaikan hal yang tak selesai antara Adi, Zahir dan Laila. Dengan bantuan pelajar buta bernama Asyif, Adi pergi berjumpa Ismail, bapa Zahir yang juga seorang bekas ahli politik untuk mendapatkan alamat terkini Zahir. Ketika Adi dan Asyif melawat Zahir di sebuah rumah kampung, mereka terkejut dengan kehidupan baru Zahir dan Laila yang tidak boleh diterima logik akal.

Halimun yang dihasilkan dengan kerjasama dan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan ditayangkan di platform Astro First mulai 5 November 2022. Filem ini bukan sahaja akan menyeramkan seisi rumah anda, malah akan membawa anda melihat realiti dan mimpi yang penuh misteri.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post