Isnin lalu, Disney+ Hotstar telah memperlihatkan poster teaser siri TIRA, sebuah siri original Disney+ Hotstar di Indonesia. Terdahulu, poster tersebut telah membuat kemunculan rasmi di acara Indonesia Comic-Con 2022 pada 1 Oktober 2022. 

Diarahkan oleh Zahir Omar, Tira diterbitkan melalui kerjasama Screenplay Bumilangit dan pemenang anugerah Asian Television Award, iaitu Joko Anwar, Wicky V. Olindo dan Bismarka Kurniawan. Siri Tira terdiri daripada 8 episod dan dijadualkan untuk tayangan secara ekslusif di Disney+ Hotstar pada 2023.

Tira merupakan siri live action pertama dalam Jagat Sinema Bumilangit (Bumilangit Cinematic Universe), yang menampilkan watak-watak superhero tempatan dari komik-komik Bumilangit. Siri tersebut merupakan prekuel kepada filem akan datang, bertajuk Godam & Tira, dan akan menampilkan kisah origin story watak bernama Suci, seorang pelagak ngeri wanita berumur 23 tahun yang secara tiba-tiba terperangkap dalam satu konspirasi perebutan kuasa purba yang mengancam nyawanya. Selepas menyelamatkan 9 orang kanak-kanak dari satu ritual misteri, Suci diserang oleh satu sumpahan, menyebabkannya kini terpaksa mencari penawar untuk menyelamatkan nyawanya. 

Siri Tira menampilkan barisan pelakon seperti Chelsea Islan sebagai Suci/Tira, Jeremie J Tobing sebagai Haikal, Bhisma Mulia sebagai Ben, Agnes Naomi sebagai Maudy, dan Karina Suwandi sebagai Widya, yang akan menambahkan lagi senarai tontonan baharu di saluran Disney+ Hotstar. 


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post