Selepas 45 tahun, akhirnya pemilik suara ikonik untuk watak Darth Vader, iaitu James Earl Jones secara rasminya 'mengundurkan diri' dari watak villain terkenal tersebut. 

Baru-baru ini, beliau dikreditkan apabila meminjamkan suaranya untuk watak Darth Vader dalam siri Disney+ Obi-Wan Kenobi. Namun sebenarnya, beliau tidak terlibat secara langsung dalam pembikinan siri tersebut. Sebaliknya, sebuah syarikat berpangkalan di Ukrainian bernama Respeecher telah menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) dan rakaman suara terdahulu untuk menghasilkan semula suara Jones bagi digunakan dalam siri Obi-Wan Kenobi. Jones juga telahpun memberi kebenaran kepada Respeecher untuk menggunakan rakaman suaranya itu bagi kegunaan siri TV dan filem baharu yang akan datang nanti. 

James Earl Jones mula meminjamkan suaranya untuk watak Darth Vader sejak tahun 1977 lagi untuk filem-filem Star Wars arahan George Lucas, menjadikan watak yang telah sedia menggerunkan itu lebih menacing dan menakutkan, menjadikannya antara watak villain paling dikenali dalam filem. 

Untuk rekod, Obi-Wan Kenobi bukanlah projek pertama Lucasfilm yang menggunakan kepakaran Respeecher dalam AI. Syarikat tersebut juga turut bertanggungjawab 'menghasilkan semula' suara Mark Hamill versi muda untuk watak Luke Skywalker dalam satu lagi siri Disney+, iaitu The Book of Boba Fett.

Jones meminjamkan suaranya untuk watak Darth Vader dalam trilogi asal Star Wars, dan turut tampil dalam filem Star Wars: Episode III – Revenge of the Sith pada 2005. Ini sudah tentunya menanda pengakhiran untuk satu era, namun di usia 91 tahun, Jones semestinya berbangga dengan pencapaian yang dikecapinya, dan suara ikonik watak Darth Vader yang akan terus kekal 'hidup' sampai bila-bila.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post