Sudah tentunya kami tidak melepaskan peluang untuk menonton satu lagi filem aksi yang sedang top di Netflix sekarang ini, iaitu The Gray Man (2022). Ditunjangi oleh dua pelakon top Hollywood iaitu Ryan Gosling dan Chris Evans, dan diarahkan pula oleh pasangan adik beradik Russo, sudah tentunya filem ini akan dipenuhi dengan adegan aksi yang mendebarkan. Dan jangkaan kami adalah tepat!

Walaupun dihasilkan Netflix, jangan pandang ringan dengan aksi dan adegan yang ditampilkan, yang kelihatan 'mahal' dengan saiz set dan kemusnahan yang ditampilkan dalam filem ini. The Gray Man diarahkan oleh Anthony dan Joe Russo, berdasarkan novel dengan tajuk sama hasil karya oleh Mark Greaney. 


The Gray Man mengisahkan tentang seorang ejen misteri digelar hanya dengan panggilan Sierra Six (lakonan Ryan Gosling) yang pada awalnya hanyalah seorang banduan yang dipenjarakan akibat kesalahan membunuh, dan direkrut oleh CIA untuk menjadi salah seorang ejen mereka yang tidak mempunyai apa-apa hubungan ataupun sesuatu yang boleh mengikat mereka (atau digelar gray men oleh CIA). Selepas direkrut oleh CIA, Six menjadi antara ejen terhebat mereka dan dianggap legenda, sebelum hidupnya berubah apabila terlibat dalam satu operasi memburu penjenayah yang dikehendaki yang sebenarnya adalah salah seorang gray man yang telah berpaling tadah (digelar Four), yang memberikannya sebuah pen drive mengandungi rahsia pihak atasan CIA bernama Denny Carmichael (lakonan Regé-Jean Page) yang juga merupakan ketua operasi tersebut. 

Dalam pelarian, dia dibantu oleh ejen Miranda (lakonan Ana de Armas) dan Donald Fitzroy (lakonan Billy Bob Thornton) iaitu orang yang bertanggungjawab merekrutnya ke dalam program Sierra. Dalam masa yang sama, Denny telah menggunakan khidmat seorang pembunuh upahan bernama Lloyd Hansenn (lakonan Chris Evans) yang sanggup menggunakan cara kotor untuk mendapatkan apa yang dihajati. Berjayakah Six menumpaskan Denny dan Lloyd, dan dalam masa yang sama menyelamatkan orang-orang sekelingnya dari menjadi mangsa kekejaman Denny dan Lloyd? Jangan lupa saksikan filem The Gray Man yang kini sedang ditayangkan di saluran Netflix.



Setelah lama tidak menonton filem aksi yang mendebarkan, kami berasa seronok menonton filem The Gray Man. Sesungguh adik-beradik Russo tidak mengecewakan dan berjaya menampilkan filem yang jalan ceritanya kedengaran biasa dan telah banyak ditampilkan sebelum ini, namun hasilnya dan babak aksi yang ditampilkan ternyata berjaya membuatkan mata kami 'melekat' di skrin TV untuk menonton aksi, tembak-menembak, dan babak pertarungan yang menarik dan mendebarkan.


Dari aspek akonan, kami merasakan watak lakonan Ryan Gosling sebagai agak biasa dan seakan 'makanan harian' untuknya. Watak yang dilakonkan, ekspresi muka dan cara lontaran dialognya kedengaran biasa dan terlalu tipikal seperti watak lain yang dilakonkannya sebelum ini. Namun berbeza untuk Chris Evans, yang kami rasakan sangat berjaya menampilkan sisi berbeza untuk watak Lloyd yang sadistik dan tidak berperi kemanusiaan (walaupun masih terbayang penampilannya sebagai Captain America). Setiap kami dia tampil di skrin, kami pasti akan merasa meluat dan geram melihat reaksinya. Ternyata Chris Evans adalah pelakon yang versatile dan bukanlah aktor tangkap muat sahaja untuk membawakan watak tersebut.

Filem The Gray Man tidaklah boleh diklasifikasikan sebagai filem aksi terbaik, namun ianya cukup menghiburkan dan sesuai ditonton bagi mereka yang gemarkan aksi lasak dan adegan tembak-menembak.

RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post