Bahagian pertama Ejen Ali Musim 3 telahpun ditayangkan bermula 25 Jun 2022 lalu di saluran Disney+ Hotstar, dan menjadi antara siri popular di saluran penstriman tersebut setakat ini. Selain di Malaysia, siri tersebut juga boleh diikuti oleh penonton di Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sejak mula ditayangkan, para peminat dan penonton telah mengikuti secara rapat siri animasi terkenal itu, yang kali ini menampilkan watak-watak Ejen Ali dalam satu pertandingan di gelanggang M.A.T.A. Arena, selain memperkenalkan watak-watak baharu terdiri dari Ejen-Ejen Antarabangsa. 

BERKAITAN: Siri Animasi Ejen Ali Musim 3 Akan Ditayangkan Secara Eksklusif Di Disney+ Hotstar Mulai 25 Jun Ini

Dengan plot dan aksi yang lebih mendebarkan, penonton dan peminat sudah tentunya tidak sabar menantikan Bahagian Kedua dari tayangan Ejen Ali Musim 3 itu, yang akan ditayangkan di Disney+ Hotstar pada Disember tahun ini.

Bahagian Kedua Ejen Ali Musim 3 ini akan menyambung kisah kemunculan ejen Rizwan ketika kekacauan di Pusat Sains Cyberaya di episod terdahulu.  Pertandingan Arena menjadi semakin mencabar, menyebabkan Ali berhadapan tugas sukar untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baharu dalam merebut kedudukan 4 tertinggi untuk masuk ke peringkat akhir. Dalam masa yang sama, entiti misteri baharu iaitu Cero, secara rahsia telah merangka strategi untuk melakukan serangan mengejut kumpulan penjenayah Numeros terhadap M.A.T.A.    

Diterbitkan secara bersama-sama oleh Disney+ Hotstar, Primeworks Studios dan WAU Animation, Ejen Ali merupakan francais siri animasi yang telah memenangi beberapa anugerah, yang menampilkan animasi berkualiti dan berinovasi tinggi. Usamah Zaid dan Nazmi Yatim bertindak sebagai Pengarah Bersama untuk Bahagian Kedua siri Ejen Ali Musim 3, dengan Shafiq Isa bertindak sebagai Pengarah Kreatif dan Suara.

Bahagian Pertama siri Ejen Ali Musim 3 akan diakhiri episod 7 yang akan ditayangkan pada 6 Ogos, 2022 dan akan disambung dengan Bahagian Kedua pada Disember 2022. Ianya boleh ditonton secara eksklusif di saluran Disney+ Hotstar. Semua episod Ejen Ali Musim 1, Musim 2, Ejen Ali the Movie, dan filem pendek Ejen Ali: Misi Juang juga kini boleh ditonton di Disney+ Hotstar.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post