Disney+ Hotstar mengumumkan siri original pertama dari Malaysia, Special Force: Anarchy yang bakal disiarkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar Malaysia tidak lama lagi. Drama bersiri aksi yang hebat ini diterbitkan oleh Skop Productions dan dibintangi oleh barisan artis tersohor, Puteri Aishah, Dato' M. Nasir dan Yusuf Bahrin.

Drama bersiri 8 episod ini mengikuti perjalanan Iman (Puteri Aishah), seorang pegawai polis muda dan bersemangat tinggi yang berasal dari sebuah negara fictional bernama Tenggara. Tanpa diduga, siasatan yang dilakukan terhadap satu rompakan bank terancang, bukan sahaja telah mempertemukannya dengan kumpulan bawah tanah berbahaya, tetapi juga telah membuka sebuah rahsia besar yang mampu mengubah segalanya!

Sebagai seorang pegawai polis cemerlang yang serba boleh, Iman direkrut untuk menyertai satu pasukan anti-rasuah elit khas yang diketuai oleh bapanya sendiri, Komander Qabil (Hasnul Rahmat). Ditubuhkan khas untuk menyelesaikan kes jenayah paling berbahaya, penyertaan Iman telah membantu pasukan itu membongkar rancangan rompakan di Bank Tenggara oleh geng penjenayah ganas yang dikenali sebagai Azazel. Kumpulan pengganas ini diketuai oleh seorang lelaki bernama Umar (Dato' M. Nasir). Di tengah konflik persengketaan itu, Iman terperangkap dengan kebuntuan apabila berdepan dengan sebuah pendedahan mengejutkan. Iman kini dipaksa untuk membuat pilihan yang mustahil.

Drama aksi penuh debaran ini, turut dibintangi barisan pelakon hebat tanahair seperti Steve Yap, Dynas Mokhtar, Theebaan G, Fify Azmi, Chacha Maembong, Elizabeth Tan, Johan As’ari dan Daniella Sya.

Special Force: Anarchy adalah hasil karya June Tan dan Nazri Vovinski, diterbitkan oleh Shamin Yusof di bawah arahan Syafiq Yusof. Syafiq Yusof merupakan pemenang anugerah Pengarah Filem Harapan di Festival Filem Malaysia 2012 serta penerima anugerah Pengarah Filem Terbaik pada 2017 oleh PROFIMA (Pekerja Filem Profesional Malaysia). Diinspirasikan oleh filem aksi popular 2018 Malaysia, KL Special Force, drama siri aksi terbaharu ini diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan Skop Productions, yang terkenal dengan filem popular lainya termasuk KL Special Force, Munafik dan francais KL Gangster.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post