Kami baru berkesempatan menonton filem Kate di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Kate dari kami.

Filem Kate (2021) diarahkan oleh Cedric Nicolas-Troyan, dan dibarisi pelakon seperti Mary Elizabeth Winstead, Miku Martineau, Woody Harrelson, Tadanobu Asano, Michiel Huisman, Miyavi, dan Jun Kunimura. 

Kate mengisahkan watak seorang pembunuh upahan bernama Kate (lakonan Mary Elizabeth Winstead), yang menerima arahan untuk membunuh seorang ketua Yakuza berpengaruh di Jepun daripada mentornya iaitu Varrick atau V (lakonan Woody Harrelson). Kate menyuarakan keinginan untuk meninggalkan dunia pembunuh upahan dan memulakan kehidupan baharu. Namun dalam misi terakhirnya, beliau telah diracun dengan bahan radioaktif, menyebabkannya mempunyai lebih kurang 1 hari sahaja untuk kekal hidup. Kate cuba menjejak dalang yang cuba membunuhnya, dan menyelesaikan misi terakhirnya. Berjayakah Kate menyelamatkan dirinya dan menyelesaikan misi terakhirnya itu? Jangan lupa saksikan filem Kate yang kini ditayangkan di Netflix.

BERKAITAN: Mary Elizabeth Winstead Bakal Tampil Dalam Siri Disney+’s Terbaharu, Star Wars: Ahsoka

Pada kami, filem Kate ini hanyalah sebuah filem kisah pembunuh upahan yang agak biasa, dan agak klise. Watak seorang pembunuh upahan yang merupakan anak yatim piatu, diambil ke dalam seorang jagaan oleh orang asing yang mempunyai agenda tersendiri, dan akhirnya mempunyal kesedaran moral untuk keluar dari dunia gelap tersebut, namun diberikan syarat tertentu. Bunyinya teramatlah biasa kan? Ya itulah premis filem Kate ini, dan tiada bezanya dengan filem bertema pembunuh upahan yang biasa. Apatah lagi watak penjahat utama sudah boleh diteka sejak dari awal lagi, menyebabkan penamat filem Kate menjadi agak anti klimaks.

Dari segi adegan aksi, memang kami tak nafikan memang terbaik dan menarik. Namun tiada wow factor yang boleh menyumbang kepada keterujaan penonton. Adegan aksi yang ditampilkan juga adalah adegan tembak-menembak yang biasa. Bolehlah layan bagi peminat aksi, namun macam kami nyatakan tadi, biasa sahaja.

Bagi peminat filem aksi, Kate sememangnya filem yang boleh layan. Adegan aksi dan tembak-menembak adalah biasa sahaja, walaupun ada adegan yang mungkin agak ganas untuk paparan mereka di bawah 18 tahun.

RATING SEMBANGFILEM. 3.5/ 5 bintang


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post