The Lost City of Z merupakan sebuah filem biografi pengembaraan yang diarahkan oleh James Gray yang ditayangkan pada 2016, dan berdasarkan sebuah buku hasil karya David Grann pada tahun 2009. Ianya mengisahkan tentang seorang tentera dan pengembara British, iaitu Percy Fawcett, yang dihantar ke Brazil dengan misi asalnya untuk menjadi penanda peta di hutan Amazon dan meneroka kawasan yang tidak pernah diplot dalam peta. Ketika misi tersebut, beliau dan pasukannya menjumpai kesan peninggalan yang disyaki merupakan kota lama yang dikatakan hilang ditelan hutan Amazon, yang digelarkannya sebagai Z. Walau bagaimanapun, percubaan pertama untuk mengesan kota tersebut telah gagal, dan beliau telah kembali ke Britain. Beberapa siri percubaan telah dilakukan juga selepas itu untuk menjejak semula laluan ke kota yang hilang itu, di mana beliau dan pasukannya berjaya menjalinkan hubungan dengan penduduk asal hutan Amazon yang pada mulanya disangka masyarakat kuno dan tidak bertamadun. Ekspedisi terakhirnya bersama anaknya Jack (lakonan Tom Holland), mendatangkan kejutan kepada mereka berdua. Berjayakah mereka menemui kota yang hilang itu? Jangan lupa saksikan The Lost City of Z yang kini boleh ditonton di Netflix.

The Lost City of Z dibintangi oleh pelakon seperti Charlie Hunnam, Robert Pattinson, Sienna Miller, dan Tom Holland. Dalam filem ini, kami hampir tidak mengenali Robert Pattinson, yang masih segar dengan wataknya sebagai Batman dalam filem The Batman, kerana penampilannya dalam filem ini sangatlah berbeza. Begitu juga dengan Tom Holland, yang ketika filem ini ditayangkan, masih lagi belum dikenali sebagai pelakon watak Spider-Man.

Walau bagaimanapun, penonton pastinya terpaksa struggle untuk menghabiskan tontonan filem ini. Kami sendiri pun merasakan tempo filem ini terlalu perlahan dan tiada elemen menarik yang boleh membuat kami 'melekat' di skrin menonton filem ini tanpa membuat aktiviti lain. Filem-filem autobiografi dan berlatarkan sejarah bukanlah asing bagi kami, namun kami dapati filem The Lost City of Z ini agak membosankan. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika filem The Lost City of Z ini hanya mampu mengutip sejumlah USD19 juta sahaja berbanding bajet penghasilan berjumlah USD30 juta. Mengejutkan, memandangkan watak utama filem ini adalah seorang penjelajah terkenal British. 

RATING SEMBANGFILEM : 2.5/5 bintang

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post