Hari ini, kami berkesempatan menonton filem Ambulance. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.

BERKAITAN: Trailer Filem Ambulance - Filem Terbaharu Arahan Michael Bay

Filem Ambulance mengangkat tema kekeluargaan, mengisahkan tentang seorang veteran perang, Will Sharp (lakonan Yahya Abdul-Mateen II) yang memerlukan wang berjumlah USD231,000 untuk pembedahan isterinya. Beliau terdesak apabila pihak insurans tidak mahu menanggung kos pembedahan itu disebabkan prosedur pembedahan tersebut masih di peringkat eksperimen. Disebabkan itu, beliau cuba meminta pertolongan dari saudara angkatnya, iaitu Danny Sharp (lakonan mantap oleh Jake Gyllenhaal) dengan harapan Danny akan meminjamkan wang tersebut kepadanya. Namun, Danny memujuk Will untuk bersama-samanya mengambil bahagian dalam satu rompakan bank dengan jumlah keseluruhan duit sebanyak USD32 juta. Malang menimpa mereka apabila rompakan tersebut menjadi huru-hara, dan menyebabkan seorang anggota polis menjadi mangsa tembakan dan cedera parah. Ketika sebuah ambulans dikerahkan ke lokasi rompakan untuk membawa anggota polis tadi ke hospital, Danny dan Will yang terdesak untuk menyelamatkan diri, telah merampas ambulans tersebut dan menjadikan anggota polis yang cedera parah tadi, dan seorang anggota paramedik wanita, Cam (lakonan Eiza González) sebagai tebusan. Maka bermulalah episod kejar mengejar antara ambulans tersebut dan hampir keseluruhan anggota polis Los Angeles (LAPD) dalam usaha untuk mengawal situasi, menyelamatkan tebusan, menangkap Will dan Danny, dan yang paling penting, memastikan tiada orang awam yang terkorban dalam insiden tersebut. Berjayakah mereka meloloskan diri, dan berjayakah pihak LAPD menyelesaikan kes ini? Jangan lupa saksikan filem Ambulance di pawagam bermula 24 Mac 2022 ini. 

Seperti mana kami nyatakan tadi, filem Ambulance ini penuh dengan aksi kejar-mengejar dan perlanggaran kenderaan yang dahsyat, dan letupan-letupan besar. Namun, ini bukanlah perkara pelik kerana ianya sebuah filem arahan Michael Bay, yang sememangnya terkenal dengan penggunaan elemen letupan dan aksi yang boleh dikatakan keterlaluan. Walaupun aksi-aksi yang ditampilkan amat baik dan mendebarkan hampir di sepanjang tayangannya, kami merasakan tempoh tayangan selama 2 jam 16 minit sebagai agak meleret. Kami merasakan ianya boleh disingkatkan lagi supaya penonton tidak berasa bosan dengan adegan kejar-mengejar yang seolah tiada kesudahan.

Filem Ambulance menampilkan lakonan dan dinamik mantap antara watak Will dan Danny, dua orang adik-beradik bukan darah daging yang telah lama tak bertemu, namun pertemuan kali ini menyebabkan mereka terperangkap dalam satu jenayah terancang yang menjadi tidak terkawal. Seperti biasa, Jake Gyllenhaal amat sesuai melakonkan watak seperti Danny yang tidak berhati perut dan ada sedikit 'gila'. Namun, beliau amat mengambil berat tentang keselamatan Will. Manakala Will pula seorang yang sayangkan keluarga, dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan isterinya, dan menjadi bapa contoh kepada anaknya yang masih kecil.

Filem Ambulance ini pada mulanya kelihatan seperti filem-filem rompakan bank yang lain, namun elemen-elemen suspens yang diselitkan nyata menimbulkan tarikan untuk menonton filem ini. Seperti biasa, kami tidak terlalu meletakkan harapan tinggi kepada filem arahan Michael Bay (baca : siri filem Transformers). Namun, untuk filem Ambulance ini, kami boleh jamin yang anda boleh layan (walaupun agak meleret).

RATING SEMBANGFILEM : 4/5 bintang


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post