Dengan masa tayangan hampir 3 jam (176 minit secara tepat), satu lagi filem Batman dibawakan ke layar perak. Diberi tajuk The Batman, kali ini watak Bruce Wayne/ Batman dilakonkan oleh Robert Pattinson. Adakah kami suka dengan cara Pattinson melakonkan watak Batman dengan versi baharu? Baca review ini sampai habis.

BERKAITAN: Saksikan Trailer Pertama Filem The Batman - Menampilkan Robert Pattinson

Filem The Batman ini sepatutnya menampilkan semula Batman versi Ben Affleck yang tampil dalam versi filem DCEU, namun selepas Ben Affleck meninggalkan projek filem tersebut, filem ini dihasilkan secara berasing dari DCEU dan menjadi filem stand-alone. Versi Batman dalam filem ini merupakan Batman sewaktu awal kemunculannya sebagai Caped Crusader, berbeza dengan Batman versi Affleck sebelum ini yang lebih berusia. Dalam filem ini, Batman berhadapan dengan watak 2 orang antagonis, iaitu Riddler dan Penguin, walaupun fokus sebagai antagonis utama adalah lebih kepada Riddler.

Apa yang menjadikan filem ini sangat menarik berbanding filem-filem Batman terdahulu ialah filem ini menampilkan sisi Batman sebagai seorang detektif yang bijak. Berdepan dengan Riddler, Batman terpaksa menggunakan segala kepakaran dan daya pemikiran kritis untuk 'memecahkan' kod-kod rahsia yang digunakan Riddler dalam permainan teka-tekinya, sesuai dengan gelaran Batman sebagai 'the world's greatest detective' dalam komiknya.

Selain itu, filem ini menampilkan Batman yang lebih hands-on dan tidak berlebihan. Sebagai contoh, kenderaan utama Batman dalam filem The Batman ini hanyalah sebuah motorsikal berkuasa tinggi, dan sebuah kereta (Batmobile) yang diubahsuai dari sebuah muscle car. Itu sahaja. Tiada lagi versi kenderaan special seperti mana yang ditampilkan dalam filem-filem Batman sebelum ini. Mungkin ini disebabkan latar Batman dalam filem ini yang masih dikategorikan agak baharu dalam dunia membanteras jenayah, dan hanya menggunakan apa yang ada di sekitarnya sahaja untuk dijadikan peralatan dan senjata untuk kegunaan Batman. Menariknya, sut Batman yang digunakan juga nampak seolah-olah buatan sendiri dan dihiasi pula dengan logo Batman di dada yang boleh ditanggalkan dan menjadi pisau untuk digunakan ketika kecemasan. Cool!

BERKAITAN: Pandang Pertama : Batmobile Versi Filem The Batman Diperlihatkan

Watak penjahat utama filem ini sudah tentunya adalah Riddler, yang telah 'memaksa' Batman menggunakan segala kepintaran dan skil detektifnya untuk menyiasat dan memecahkan kod-kod rahsia dalam teka-teki yang ditinggal Riddler untuknya. Menariknya, Riddler kali ini tidaklah berimej corny seperti Riddler versi Jim Carey, sebaliknya hanyalah individu biasa berpakaian hijau yang bijak merancang beberapa langkah ke hadapan untuk memerangkap mangsanya, dan menjadi simbol pemberontakan warga Gotham terhadap individu kaya dan berpengaruh di Gotham yang memanipulasi untuk kekayaan mereka sendiri.

Selain Riddler, filem ini turut menampilkan watak antagonis iaitu Penguin dan Carmine Falcone. Manakala watak sekutu Batman dalam filem ini adalah Selina Kyle/ Catwoman dan juga James Gordon. Kesemua watak yang ditampilkan memberikan peranan seimbang dalam filem ini, dan walaupun masa tayangan yang agak panjang, kami dapat menghayati setiap plot dan pengkisahan filem ini dan built up setiap scene sehinggalah kemuncak plan Riddler untuk kemusnahan bandar Gotham dalam filem ini.

Kami berikan 4.5/5 bintang untuk filem The Batman. Walaupun ramai mengkritik pemilihan Robert Pattinson sebagai Batman sebelum ini (termasuklah kami), nampaknya kami dah boleh terima Batman versi Robert Pattinson ini. Tapi part sebagai Batman la, part sebagai Bruce Wayne masih lagi cringe.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post