Angin tiada, ribut pun tiada, tiba-tiba sahaja Animonsta Studios iaitu studio di sebalik siri animasi BoboiBoy dan filem BoboiBoy: The Movie dan BoboiBoy Movie 2, mengumumkan yang mereka akan menggugurkan watak Papa Zola dalam karya animasi akan datang.


Perkara itu disahkan sendiri oleh pengasas dan Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abd Razak menerusi satu hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebooknya dua hari lepas. Untuk rekod, beliau juga individu di sebalik suara bagi watak Papa Zola tersebut. 

Beliau mencoretkan :

“Selepas membaca komen dan maklum balas anda semua, dapatlah disahkan bahawa Papa Zola akan digugurkan dalam BoboiBoy Movie akan datang. Idea untuk mengubah Papa Zola dan Gopal pun tidak diterima. Papablo Esgopal kini bersedih”.

Sebelum membuat pengumuman tentang keputusan tersebut, Nizam juga berkongsi satu hantaran lain yang mendedahkan mengenai perebutan watak animasinya itu pada waktu skrin.

“Dalam BoBoiBoy, banyak sangat watak merebut waktu skrin. Jadi, ada watak yang perlu digugurkan untuk sesetengah arc atau movie.

“Soalannya, watak mana perlu digugurkan?”katanya sebelum menerima ratusan komen berhubung watak yang perlu digugurkan, yang rata-ratanya, melahirkan rasa sedih dan kecewa kerana Papa Zola yang dianggap antara tunjang utama tarikan filem animasi tersebut bakal tiada.

Watak Papa Zola merupakan antara watak kegemaran ramai anak-anak kecil dan turut mencuri hati peminat dewasa dalam animasi adiwira BoBoiBoy, dan amat terkenal dengan tagline ‘‘Kebenaran". Tagline ini menjadi amat terkenal dan menjadi ikutan kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Walaupun begitu, Nizam turut mengumumkan sudah menyiapkan naskah terbaru untuk animasi BoboiBoy Movie ini, selain mengesahkan Papa Zola akan muncul dalam projek terbaharu Animonsta Studios nanti.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post