Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dilaporkan akan memantau dan menyiasat aktiviti cetak rompak filem tempatan yang dijual melalui platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata agensi berkenaan akan memfokuskan kepada syarikat-syarikat yang menyediakan platform e-dagang, dan menjurus kepada penjual-penjual yang menggunakan platform tersebut untuk menjual filem cetak rompak.

Menyuarakan kekecewaannya terhadap pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam penjualan karya cetak rompak digital tersebut, beliau berkata:

"Kami akan menyiasat kedua-dua syarikat penyedia platform e-dagang dan juga mereka yang menjual karya cetak rompak secara dalam talian. Kami akan menyemak samada mereka mempunyai lesen pengedaran dan samada mereka telah mendapatkan kebenaran daripada pemegang hakcipta berkenaan untuk menjual karya mereka. Berdasarkan laporan yang kami terima, mereka tidak mempunyai kebenaran daripada penerbit asal untuk karya kreatif mereka," kata Ahmad Idham dalam satu laporan yang dilaporkan oleh News Straits Times. 

Ahmad Idham turut menambah yang FINAS berasa 'tercabar' apabila terdapat beberapa pihak yang seolah-olah sengaja mencabar undang-undang negara dan menjual karya cetak rompak terutamanya filem secara terbuka menggunakan plaftform e-dagang. 

Semakan kami mendapati, beberapa karya tempatan seperti Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa didapati telah dijual secara terbuka di Shopee tanpa kebenaran pemegang hakcipta asal. 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post