Penggambaran Filem, Drama, Iklan Dan Lain-Lain Dibenarkan Bermula 10 Jun

Dalam sidang media harian yang berlangsung semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan bahawa penggambaran filem, drama, iklan dan lain-lain seumpamanya akan dibenarkan bermula 10 Jun (Rabu minggu hadapan). 


Walau bagaimanapun, setiap penggambaran perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, seperti memastikan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, mengehadkan keberadaan petugas di set penggambaran dan lain-lain lagi. 

"Sebelum ini saya telah maklumkan bahawa mesyuarat memutuskan untuk membenarkan penggambaran filem, iklan, drama dan sebagainya. Saya sebutkan waktu itu, ia boleh bermula selepas Raya. Maka hari ini kita putuskan ia boleh memulakan operasi bermula 10 Jun. Namun aktiviti penggambaran mesti patuhi SOP diputuskan dalam mesyuarat terutama memastikan penjarakan sosial dan tidak memulakan perhimpunan yang ramai dan sebagainya," katanya dalam sidang media harian berkenaan di Putrajaya.

Dalam sidang media sebelum ini, beliau memaklumkan keputusan sama ada membenarkan industri itu beroperasi semula akan diputuskan selepas Aidilfitri selepas mendapat pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan ini sudah tentunya menimbulkan sedikit kelegaan kepada penggiat industri seni dan kreatif di negara ini, yang rata-ratanya terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post