Hugh Jackman Bakal Muncul Sebagai Pelakon Utama Filem Ferrari?


Pelakon, Hugh Jackman dilaporkan kini dalam perbincangan untuk muncul dalam filem arahan Michael Mann bertajuk Ferrari, yang mengisahkan tentang latar belakang legenda sukan bermotor dan pengasas syarikat Ferrari, Enzo Ferrari. 


Penggambaran pertama filem Ferrari dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan. Skrip filem Ferrari adalah berdasarkan buku Enzo Ferrari – The Man and the Machine nukilan Brock Yates.

Filem berkenaan akan berlatarkan tahun 1957 apabila kehidupan Ferrari berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya syarikat yang diusahakan bersama isterinya Laura berhadapan dengan krisis, cabaran dalam perkahwinannya, dan kematian anak lelaki mereka, Dino. Tambah merumitkan keadaan apabila Ferrari menjalinkan hubungan pula dengan Lina Lardi, dan memperolehi pula seorang anak lelaki bernama Piero. Dalam masa yang sama, Ferrari turut sedang bersedia untuk berlumba dalam satu perlumbaan merentas Itali iaitu Mille Miglia. Semua ini akan terbongkar semasa persediaan perlumbaan tersebut yang akhirnya akan menambahkan lagi konflik hidup Ferrari. Berjayakah dia menangani semua cabaran tersebut? Persoalan ini akan terjawab dalam filem ini nanti. 

Selain mengarah, Mann akan turut bertindak sebagai penerbit melalui syarikat miliknya Forward Pass, bersama-sama penerbit filem Birdman iaitu John Lesher, Lars Sylvest, Thorsten Schumacher, Gareth West dan Niels Juul.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post