Disney telah mengumumkan penjadualan semula tarikh tayangan filem terbaharu mereka, bertajuk The New Mutants.


Walaupun sebelum ini, rata-rata peminat menjangkakan yang filem The New Mutants akan ditayangkan terus ke saluran penstriman, nampaknya kini Disney meneruskan perancangan awal untuk menayangkan filem berkenaan ke layar perak. Filem The New Mutants akan ditayangkan bermula 28 Ogos 2020, walaupun pada awalnya dikatakan akan ditayangkan terus ke saluran Hulu atau Disney+.  

Trailer pertama filem The New Mutants telah diperlihatkan sejak tahun 2017 lagi – namun terpaksa ditangguhkan kerana tarikh awal tayangan yang telah dijadualkan iaitu pada 13 April 2018 - terlalu hampir dengan tarikh tayangan filem Deadpool 2 pada ketika itu. Pada awalnya filem berkenaan ditunda ke tarikh 22 Februari 2019, namun beberapa keputusan untuk membuat penggambaran semula dan penambahan watak-watak baharu telah sekali lagi menyebabkan filem berkenaan terpaksa ditunda sekali lagi, kali ini ke tarikh 2 Ogos 2019. 


Tidak lama selepas itu, terdapat beberapa halangan yang terus menyebabkan filem The New Mutants ditunda pula ke tarikh 3 April 2020. Dan seperti mana diketahui umum, banyak filem terpaksa ditunda lagi akibat wabak COVID-19 yang melanda di seluruh dunia. Disebabkan inilah rata-rata peminat menjangkakan yang Disney tidak akan menunda lagi tarikh tayangan filem The New Mutants, dan akan menayangkannya terus ke saluran penstriman. 

Nampaknya, para peminat filem Marvel terpaksa menunggu lagi untuk menonton filem The New Mutants di pawagam.  

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post