Filem Pirates of the Caribbean: Dead Me Tell No Tales yang dibintangi Johnny Depp, Geoffrey Rush dan muka-muka baharu dalam francais filem berkenaan seperti Javier Bardem, Brenton Thwaites dan Kaya Scodelario, dikritik hebat oleh para pengkritik filem, namun masih mencatatkan kutipan yang agak bagus sebanyak USD794.8 juta di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, beberapa kontroversi dan kes mahkamah melibatkan Johnny Depp telah menimbulkan tanda tanya samada beliau masih akan muncul semula dalam filem terbaharu francais berkenaan ataupun tidak. Apalah gunanya filem Pirates of the Caribbean tanpa Johnny Depp, yang telah tampil sejak filem pertama lagi iaitu Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl yang ditayangkan pada tahun 2003. Malah, watak lakonannya, Kapten Jack Sparrow juga teramat sinonim dengan francais filem Pirates of the Caribbean, dan sukar membayangkan sebuah filem Pirates of the Caribbean tanpa kelibat Johnny Depp.


Penerbit francais filem Pirates of the Caribbean, Jerry Bruckheimer menyatakan yang beliau tidak mengetahui samada Johnny Depp akan tampil dalam filem Pirates of the Caribbean 6 ataupun tidak. Sambungan filem berkenaan telah diumumkan sejak tahun 2018 lagi, selepas kejayaan filem kelimanya, Pirates of the Caribbean: Dead Me Tell No Tales.

Dalam satu temubual melalui aplikasi Zoom, penerbit, Jerry Bruckheimer diminta memberikan komen tentang penglibatan Johnny Depp dalam filem terbaharu tersebut, dan ini komen dari beliau:

"The one we’re developing right now, we’re not sure quite what Johnny’s role is going to be. So, we’re going to have to see".

Dari kenyataan beliau, dapat disimpulkan bahawa studio perfileman Disney masih berminat untuk menggunakan khidmat Johnny Depp, berbeza dengan laporan pada tahun 2018 yang menyatakan Disney sudah tidak berminat lagi untuk menggunakan khidmat pelakon tersebut dalam filem terbaharu nanti. Bruckheimer turut mendedahkan yang skrip filem terbaharu Pirates of the Caribbean itu masih lagi dalam bentuk draf dan masih belum diluluskan oleh Disney. 

Komen yang diberikan oleh Bruckheimer itu memberikan sedikit harapan yang membayangkan watak Jack Sparrow bakal tampil semula dalam filem terbaharu nanti. Kali terakhir watak Jack Sparrow tampil dalam filem Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales, watak berkenaan diperlihatkan belayar ke arah matahari terbenam selepas diisytiharkan semula sebagai kapten kapal Black Pearl.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post