Kami telahpun menonton menonton filem Babah (2024) di Netflix, dan ini adalah review filem Babah dari kami.
Filem Babah membawa penonton menyelami kisah kasih sayang seorang bapa yang jarang sekali diketengahkan dalam filem tempatan. Filem Babah tampil sebagai sebuah naskhah yang penuh emosi dan dekat dengan realiti kehidupan ramai di luar sana. Diterajui oleh Qi Razali (sebagai Isyak/ Babah), Sweet Qismina (sebagai Maya), Cristina Suzanne (sebagai Hayati), Adam Lee (sebagai Ikmal) dan Kis Aisha (sebagai Maya berumur 7 tahun), filem ini berjaya menyentuh sisi emosi penonton dengan penceritaan yang ringkas tapi sarat makna.
Jarang kita dapat lihat Qi Razali dalam peranan berat sebegini – dan beliau tidak mengecewakan. Dalam Babah, Qi membawakan watak seorang bapa yang pada awalnya menggunakan alat bantu pendengaran, sehinggalah satu insiden besar yang menyaksikannya kehilangan pendengaran secara keseluruhan. Filem Babah menelusuri ujian-ujian dalam kehidupan keluarga kecil berkenaan, dan membesarkan satu-satunya anak, Maya dalam suasana penuh cabaran.
Ada babak-babak yang buat penonton terdiam seketika – bukan sebab bosan, tapi sebab terasa dekat di hati. Sesiapa yang bergelar ayah/ bapa/ abah/ walid atau apa sahaja panggilan pun pasti dapat merasa mesej deep yang dibawakan, bagaimana seorang bapa sanggup melakukan apa sahaja demi anak kesayangannya. Malah, jika belum ada pengalaman menjadi bapa pun, pasti dapat memahami mesej yang cuba disampaikan, apatah lagi pelakon utama watak Babah, Qi Razali juga bukanlah seorang bapa dalam dunia sebenar.Penceritaan disusun kemas, walaupun ada beberapa momen yang terasa sedikit perlahan, ia tidak mengganggu keseluruhan aliran cerita.
Dari sudut teknikal, sinematografi Babah tidak terlalu bergaya, tapi cukup untuk membawa penonton masuk ke dunia watak-wataknya. Penggunaan cahaya dan warna yang agak muted selari dengan mood filem. Runut bunyi pula digunakan secara minimal, tapi tepat pada tempatnya – membantu menaikkan impak emosi dalam beberapa babak penting. Lagu Rahsia Tuhan nukilan Noh Salleh sememangnya cukup kena dengan mood filem ini, apatah lagi di penghujung filem terdapat twist yang tidak disangka, menambahkan kesedihan kepada penonton.
Plot filem Babah bukan jenis yang berbelit atau dramatik melampau. Ia mudah – tentang cabaran membesarkan anak, menjaga maruah diri, dan berdepan tekanan hidup. Tapi di sebalik kesederhanaan itu, terselit pelbagai mesej tentang kasih sayang, tanggungjawab, dan pengorbanan yang selalunya dilakukan dalam diam.
Kesimpulannya, Babah ialah sebuah filem yang berjaya menyentuh hati tanpa perlu jadi terlalu dramatik. Qi Razali membuktikan dirinya mampu bawa watak berat dengan penuh penghayatan, dan Sweet Qismina juga berjaya meletakkan emosi dalam setiap adegan yang dilakonkan, meyakinkan penonton yang Babah dan Maya mempunyai ikatan sangat rapat dalam filem ini. Dan sebaik manapun seorang bapa menjaga anaknya dengan kasih sayang tak tidak berbelah bahagi, perlu bersedia 'melepaskan' apabila tiba masanya.
Filem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga – terutama buat mereka yang ingin mengenang kembali jasa seorang ayah. Kalau korang peminat filem yang ada nilai emosi, yang buat korang terfikir tentang mak ayah di kampung, atau yang boleh buat air mata tergenang tanpa sedar – Babah memang wajib tonton.
PENILAIAN: 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment