Tarikh Tayangan Filem Top Gun: Maverick Diawalkan

Sebelum ini, Paramount Pictures telah meminda tarikh tayangan filem Top Gun: Maverick adalah pada 26 Jun 2020, berbanding tarikh asal iaitu pada 12 Julai 2019. Tetapi laporan terbaharu dari Deadline menyatakan yang tarikh tayangan filem Top Gun: Maverick telah ditunda sekali lagi! 


Kini, filem Top Gun: Maverick bakal ditayangkan 2 hari lebih awal, iaitu pada 24 Jun 2020. Seperti mana filem Top Gun terdahulu, Tom Cruise akan kembali melakonkan watak ikoniknya sebagai Pete "Maverick" Mitchell dalam filem yang mengangkat namanya sebagai antara pelakon terkemuka. 



Top Gun: Maverick menampilkan jalan cerita berlatarkan teknologi persenjataan masa kini yang menggunakan teknologi dron dan kepintaran buatan, menggantikan peranan juruterbang dalam pesawat moden. Watak Maverick (Tom Cruise) kini merupakan seorang jurulatih penerbangan, yang melatih Bradley Bradshaw (lakonan Miles Teller), yang merupakan anak kepada rakan penerbangan Maverick suatu masa dulu, iaitu Nick “Goose” Bradshaw yang meninggal dunia dalam satu kemalangan semasa latihan. Filem Top Gun: Maverick turut dibintangi Jon Hamm, Val Kilmer, Jennifer Connelly, Glen Powell dan Ed Harris.


Filem Top Gun ditayangkan pada 1986 dan diarahkan oleh Tony Scott, yang menjadi hit sehingga menyaksikan peningkatan orang awam yang ingin menjadi juruterbang, terutamanya juruterbang untuk Tentera Udara Amerika Syarikat. Filem Top Gun turut dibintangi oleh Kelly McGillis, Anthony Edwards dan Tom Skerritt. Filem tersebut memenangi Anugerah Academy untuk Lagu Asal Terbaik bagi lagu “Take My Breath Away” oleh Berlin. Pada 2015, United States Library of Congress memilih filem itu untuk disimpan dalam National Film Registry.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post