Seorang Lagi Pelakon Disahkan Akan Muncul Semula Dalam Sambungan Filem Mission: Impossible

Francais filem Mission: Impossible merupakan antara filem yang mendapat tempat di hati peminat filem dan sering mencatatkan kutipan yang tinggi di pawagam. Maka tidak hairanlah sekiranya telah ada perancangan untuk menghasilkan bukan satu, tetapi dua sambungan filem Mission: Impossible.


Dalam satu temuramah bersama Glamour Magazine UK, pelakon Vanessa Kirby (The Crown, Hobbs & Shaw) telah mengesahkan yang dirinya akan tampil semula dalam filem Mission: Impossible 7 dan Mission: Impossible 8, meyambung kembali wataknya sebagai Alanna Mitsopolis/White Widow dalam filem terdahulu. Kedua-dua filem berkenaan akan ditayangkan pada tahun 2021 dan 2022.


Kirby mendedahkan yang beliau akan memulakan latihan intensif untuk filem sambungan Mission: Impossible sejurus selepas menyelesaikan penggambaran filem terbaharunya, Pieces of a Woman bersama pelakon Shia LaBeouf.

BERKAITAN: Siapakah Pelakon Terbaharu Yang Diumumkan Untuk Tampil Dalam Filem Mission: Impossible 7?

Selain Tom Cruise, Pom Klementieff (Guardians of the Galaxy Vol. 2), Shea Whigham (Joker), dan Haley Atwell (Avengers: Endgame), filem terbaharu Mission: Impossible itu akan menampilkan semula "muka-muka wajib" filem Mission: Impossible seperti Rebecca Ferguson (Doctor Sleep), Simon Pegg (Ready Player One) dan Ving Rhames (Pulp Fiction).

Francais Mission: Impossible mempunyai sejarah hampir 25 tahun dan dengan 6 buah filem, dengan tarikan utamanya adalah aksi lagak ngeri yang semakin mendebarkan di setiap filem sambungannya. Filem terbaharunya, iaitu Mission Impossible: Fallout, mencatatkan kutipan lebih USD790 juta di seluruh dunia.

Studio penerbitan Paramount telah menetap tarikh tayangan filem ke-7 Mission: Impossible nanti adalah pada 23 Julai 2021, manakala filem ke-8 ditetapkan untuk tayangan pada 5 Ogos 2022.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post