Siri TV Green Lantern Bakal Ditayangkan Di Saluran HBO Max - Sinestro Disahkan Akan Muncul

Oktober lalu, saluran HBO Max telah mengumumkan bahawa siri TV diinspirasikan dari watak Green Lantern akan ditayangkan di saluran penstriman berkenaan. Penerbit siri TV Arrow, iaitu Greg Berlanti, dilaporkan akan bertindak sebagai penerbit siri berkenaan, dengan memfokuskan kepada kepelbagaian watak yang ada dalam mitologi dunia Green Lantern. Kini, laporan terbaharu menyatakan yang watak penjahat utama Green Lantern, iaitu Sinestro, turut akan muncul dalam siri berkenaan!


Ketika sidang media di acara Television Critics Association, Sarah Aubrey yang merupakan Head of Original Content HBO dipetik sebagai berkata yang siri Green Lantern ini akan memfokuskan kepada watak Green Lantern di Bumi, dan akan turut menampilkan watak dan pengkisahan latar belakang watak Sinestro.

Tidak dipastikan watak yang manakah akan ditampilkan sebagai Green Lantern yang melindungi Bumi. Bagi peminat komik, terdapat beberapa watak Green Lantern yang melindungi Sektor 2814 termasuklah Bumi, seperti Hal Jordan, Guy Gardner dan John Stewart. Manakala Sinestro pula pernah menjadi anggota Green Lantern Corps, tetapi keangkuhan dan sikap tamakkan kuasa menjadikannya berpaling tadah, dan akhirnya menubuhkan Sinestro Corps, yang menggunakan kuasa ketakutan dengan warna tenaga kuning, berbanding Green Lantern Corps yang menggunakan kuasa keazaman dengan warna tenaga hijau.

BERKAITAN: Review Filem Green Lantern [2011]

Memetik kenyataan Berlanti, beliau berkata :

“Both of these original DC properties we’ll be creating for HBO Max will be unlike anything seen on television. An anthology series of cautionary tales set in a world where superpowers exist, and, in what promises to be our biggest DC show ever made, we will be going to space with a Green Lantern television series, but I can’t reveal any more about that just yet”.

Siri Green Lantern ini akan menandakan penampilan aksi-hidup pertama Green Lantern, selepas kali terakhir ditampilkan di layar perak melalui filem Green Lantern pada tahun 2011. Ryan Reynolds melakonkan watak Hal Jordan, manakala watak Sinestro dilakonkan oleh Mark Strong. Filem tersebut mendapat kritikan yang hebat dari peminat filem, sehingga akhirnya dikeluarkan dari senarai filem DC Extended Universe (DCEU). Reynolds menjadikan filem berkenaan sebagai jenakanya apabila tampil membawakan satu lagi watak superhero, Deadpool, yang mencatatkan kejayaan dan melonjakkan nama Reynolds dalam genre filem superhero.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post