Adegan Alternatif Pertemuan Tony Stark Dan Anaknya Selepas Pengakhiran Filem Avengers: Endgame Didedahkan

Peminat filem MCU umum mengetahui yang pelakon Katherine Langford diumumkan sebagai pelakon yang akan melakonkan watak Morgan Stark versi dewasa dalam filem Avengers: Endgame. Namun, beliau tidak muncul dalam versi akhir filem tersebut yang hanya menampilkan watak Morgan semasa kecil sahaja. Walau bagaimanapun, pelancaran saluran penstriman Disney+ di Amerika telah menyaksikan saluran berkenaan berkongsikan adegan alternatif yang pada awalnya dirancang, tetapi tidak menjadi kenyataan, untuk tatapan peminat filem mereka.


Adegan yang dimaksudkan adalah adegan sejurus sahaja Iron Man/ Tony Stark memerik jarinya sambil menyebut "I am Iron Man" dan menterbalikkan kesan petikan jari Thanos sebelum ini, seterusnya mengorbankan dirinya sendiri. Tony Stark mendapati dirinya berada di Soul World, seperti mana Thanos bersama Gamora sebelum ini, tapi kali ini, Stark berdepan dengan anaknya yang telah dewasa, yang dilakonkan oleh Katherine Langford. Dalam adegan yang penuh emosi itu, Stark sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Morgan sambil menuturkan perkataan yang kini menjadi ikonik, iaitu "I love you 3000".

Selain adegan berkenaan, terdapat juga beberapa adegan alternatif lain dari filem Avengers: Endgame dan adegan yang tidak dimasukkan dalam versi akhir filem berkenaan, seperti babak antara Black Widow dan Hawkeye di Vormir, dan interaksi antara Hulk dan Ancient One.

Kepada mereka yang tidak dapat melanggan saluran Disney+, telah ada beberapa orang yang berkongsikan rakaman adegan berkenaan di YouTube. Sekiranya anda ingin menonton, bolehlah menonton segera kerana Marvel Studios berkemungkinan akan mengarahkan pemadaman video berkenaan disebabkan faktor hakcipta.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post