Trailer Dan Poster Filem Sangkar Diperlihatkan - Filem MMA Pertama Malaysia 


Filem aksi seni bela diri campuran (mixed martial art - MMA) pertama Malaysia yang berjudul Sangkar, tampil dengan trailer rasminya semalam. Turut ditampilkan adalah poster pertama filem Sangkar, yang bakal ditayangkan pada 29 Ogos 2019. Saksikan trailer tersebut di bawah : 



Memetik laporan oleh Astro Awani, filem Sangkar merupakan filem tempatan yang menampilkan kerjasama mega empat penerbit iaitu Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

Astro Awani turut melaporkan yang Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad, sebagai berkata :

“Kami yakin dengan dua gabungan syarikat media Malaysia, Media Prima dan Astro bersama Infinitus Gold dan mm2 Entertainment mampu mencipta sejarah baru dalam industri perfileman tanah air. Dengan strategi promosi telah dibuat sejak berbulan lalu dan kini kami rasa teruja kerana tiba masanya untuk melaksanakan secara menyeluruh dengan kempen utamanya adalah Sangkar Bukan Sekadar Pertarungan,"

Trailer Sangkar dengan durasi 1:50 minit itu memaparkan aksi pertarungan di antara watak Johan (Remy Ishak) dan Adam (Zul Ariffin) serta liku-liku kehidupan yang terpaksa diharungi mereka dalam arena sukan MMA.


Selain Zul dan Remy, filem arahan Kabir Bhatia ini turut menampilkan barisan pelakon tempatan lain seperti Mira Filzah, Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan Rashid Salleh yang juga merupakan Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA).

Filem Sangkar juga menampilkan beberapa atlet profesional MMA sebenar seperti bekas petarung UFC James 'Sledgehammer' Mcsweeney, serta atlet tempatan dari ONE Championship iaitu Saiful Merican, Peter Davis dan Jihin Radzuan.

Filem Sangkar turut mempunyai runut bunyi rasmi sendiri, sebagai lagu tema yang akan mengiringi filem ini berjudul ‘Fighter’ dan dinyanyikan oleh rapper yang sedang meningkat naik, Aman RA.

Nantikan filem Sangkar yang akan menemui para penonton di pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 29 Ogos 2019.

Bagi pengguna laman sosial pula, kalian boleh menggunakan hashtag #SangkarMovie bagi berkongsi ulasan dan keterujaan tentang filem Sangkar.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post