Keanu Reeves Ditawarkan Watak Dalam Filem Captain Marvel? 

Dari hari ke hari, semakin banyak pendedahan tentang filem terbaru Marvel Studios, iaitu Captain Marvel. Bakal ditayangkan pada 8 Mac 2019, filem Captain Marvel mengisahkan Carol Danvers (Brie Larson) yang menjadi superhero terhebat apabila Bumi terperangkap dalam peperangan galaksi antara dua kaum makhluk asing. Berlatarkan tahun 1990-an, filem Captain Marvel membuka ruang sisi baru Marvel Cinematic Universe untuk pertempuran di angkasa lepas. Kini, satu lagi berita mengejutkan dilaporkan apabila dikhabarkan yang Keanu Reeves telahpun ditawarkan watak dalam MCU!


Sumber dari That Hashtag Show melaporkan yang Reeves telah ditawarkan watak sebagai Yon-Rogg dalam filem Captain Marvel, dan Reeves sendiri telahpun menyatakan persetujuan. Malangnya beliau telahpun terikat dengan jadual penggambaran filem John Wick: Chapter 3 – Parabellum dan oleh itu terpaksa melepaskan peluang berharga tersebut.

Filem John Wick merupakan filem yang memberikan makna baru kepada Reeves, yang kembali melonjakkan namanya sebagai pelakon filem aksi. Apatah lagi watak John Wick itu sendiripun sudah sinonim dengan Keanu Reeves. Ramai lagi pelakon lain boleh melakonkan watak Yon-Rogg, tetapi di mata peminat dan penonton, hanya seorang sahaja John Wick, iaitulah Keanu Reeves. Akhirnya, Marvel memilih  Jude Law untuk watak Yon-Rogg.

Reeves tidaklah asing dari filem berdasarkan komik, kerana pernah membawakan watak John Constantine dalam filem Constantine sebelum ini. Malahan, rata-rata peminat juga beranggapan watak Neo yang dilakonkan Reeves dalam siri filem The Matrix juga boleh diumpamakan seperti watak superhero juga. 

Sebagai rekod, filem Captain Marvel akan ditayangkan pada 8 Mac 2019, manakala filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum akan ditayangkan 17 Mei 2019. 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post