Tombiruo Tersenarai Sebagai Finalis Filem Asia Terbaik

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari novel karya Ramlee Awang Murshid, mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai finalis Filem Asia Terbaik pada anugerah “The Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA)” 2018, menurut laporan Bernama yang disiarkan oleh Astro Awani.


Menurut data pencapaian filem Malaysia peringkat antarabangsa tahun 2018 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diterbitkan oleh Astro Shaw itu akan bersaing bersama lapan filem hebat lain dari seluruh Asia iaitu 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Jepun) dan Youth (China).

Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada majlis kemuncak pada 5 Disember 2018 di Sydney.

Terdahulu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, terpilih sebagai “Official Selection” di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia pada 22nd Bucheon International Fantastic Film Festival (BiFan) yang berlangsung dari 12 hingga 22 Julai lalu di Bucheon, Korea Selatan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post