Penggambaran Filem Mat Kilau Ditangguhkan Sebab Isu Dalaman?

Dalam satu artikel di Cinema Online bertarikh 16 Julai lalu, pengarah Syamsul Yusof mendedahkan yang filem terbarunya iaitu Mat Kilau telah ditangguhkan, walaupun telah 70 peratus siap, atas "sebab-sebab dalaman yang tidak dapat dielakkan". 


Memetik kenyataan Syamsul di BH Online, "Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Saya terpaksa memilih untuk menangguhkan penggambaran sehingga isu dalaman ini diselesaikan. Ada faktor lain seperti cuaca dan perkara-perkara yang tak dapat saya sebutkan. Saya berhadapan dengan cabaran besar ketika menyiapkan filem ini. 

"Saya bekerja dengan pasukan yang profesional, tetapi perjalanan ini masih terlalu hebat. Mungkin sebelum ini ada yang merasakan pasukan di sebalik Mat Kilau tidak mempunyai pengalaman cukup, walau bagaimanapun, pasukan saya yang paling berpengalaman juga menghadapi pelbagai rintangan" menurut Syamsul lagi. 

Syamsul turut merakamkan penghargaan kepada penerbit, Rahman dan Shahruddin Dali yang menurutnya amat memahami situasi yang dihadapinya. 

Walau bagaimanapun, Syamsul mengesahkan yang filem Mat Kilau akan menyambung penggambarannya pada bulan Oktober nanti. 

Filem Mat Kilau di bawah terbitan Studio Kembara itu, disokong oleh Skop Productions, dijangka menelan kos sebanyak RM5 juta untuk dihasilkan. 

Sebelum ini, Syamsul menyahut cabaran untuk menghasilkan filem Mat Kilau selepas beberapa syarikat produksi dan pengarah gagal menyiapkan penggambaran filem berkenaan. 

Mat Kilau merupakan sebuah filem sejarah epik berlatarkan watak pendekar Melayu terkenal dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. 

Filem Mat Kilau dibintangi Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Johan As'ari. Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa dan aktor seni mempertahankan diri dari Indonesia, Yayan Ruhian. 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post