Marvel Studios akhirnya memperlihatkan treler akhir filem Avengers: Doomsday (2026), dan nampaknya filem ini bakal menjadi antara projek terbesar MCU setakat ini. Kalau sebelum ini beberapa teaser hanya memberikan gambaran tentang kemunculan semula karakter-karakter lama, treler terbaharu ini mula memperlihatkan bagaimana Marvel mahu menggabungkan beberapa dunia superhero yang sebelum ini bergerak secara berasingan. Apa yang pasti, peminat Avengers, X-Men dan Fantastic Four mempunyai sebab untuk menantikan filem ini.
Saksikan treler akhir filem Avengers: Doomsday di bawah:
Perkara pertama yang menarik perhatian aku sudah tentu kemunculan semula Steve Rogers (lakonan Chris Evans) bersama Peggy Carter (lakonan Hayley Atwell). Selepas meninggalkan kehidupan sebagai Captain America dalam Avengers: Endgame (2019), kali ini kita dapat melihat Steve menjalani kehidupan berkeluarga bersama Peggy dan anak mereka. Pada mulanya, semuanya nampak tenang sehinggalah kemunculan Fantastic Four memberikan petunjuk bahawa Steve mungkin perlu kembali berhadapan dengan sesuatu yang jauh lebih besar. Aku memang tidak menjangkakan Marvel akan membawa kembali Steve dengan pendekatan sebegini. Persoalannya, apakah yang menyebabkan dia perlu kembali dan sejauh mana kehidupannya bersama Peggy mempunyai kaitan dengan konflik multiverse kali ini?
Selain Steve Rogers, perhatian tentunya tertumpu kepada Doctor Doom yang dilakonkan oleh Robert Downey Jr. Pemilihan pelakon ini masih menjadi antara perkara paling menarik dalam projek Avengers: Doomsday. Selepas bertahun-tahun dikenali sebagai Tony Stark atau Iron Man, kini Downey Jr. kembali ke MCU sebagai salah seorang antagonis paling berbahaya dalam dunia Marvel. Cuma aku berharap Marvel tidak mensia-siakan karakter ini. Doctor Doom bukan villain biasa yang hanya bergantung kepada kekuatan dan teknologi. Dia mempunyai kepintaran, pengaruh politik serta penguasaan ilmu sihir yang menjadikannya antara musuh paling sukar ditandingi. Kalau Marvel berjaya membina karakter ini dengan baik, tidak mustahil Doctor Doom mampu memberikan saingan yang cukup hebat kepada Thanos.
Satu lagi perkara yang membuatkan aku teruja ialah kemunculan semula barisan X-Men daripada francais filem terdahulu. Bagi peminat X-Men, kemunculan mereka pastinya cukup bermakna, lebih-lebih lagi selepas sekian lama francais ini bergerak di luar kelompok utama MCU. Babak Cyclops menggunakan optic blast serta dialog ikonik "To me, my X-Men!" memang antara momen yang paling menarik dalam treler ini. Ditambah pula dengan kemunculan Sentinel, nampaknya dunia mutant juga mempunyai peranan besar dalam konflik yang bakal berlaku.
Fantastic Four yang diketuai Reed Richards (Pedro Pascal) turut menjadi sebahagian daripada gabungan besar ini. Menariknya, hubungan antara Reed Richards dan Doctor Doom dalam komik Marvel memang cukup kompleks. Kedua-duanya mempunyai kepintaran luar biasa, tetapi sering berada di pihak yang bertentangan. Jadi, aku menjangkakan pertemuan mereka nanti akan menjadi salah satu bahagian penting dalam cerita. Dalam masa yang sama, kemunculan Thor (Chris Hemsworth), Sam Wilson (Anthony Mackie), Bucky Barnes (Sebastian Stan) dan beberapa lagi anggota Avengers memperlihatkan bahawa ancaman kali ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai kumpulan superhero.
Apa yang aku suka tentang trailer ini ialah Marvel berjaya menggabungkan elemen nostalgia dengan sesuatu yang baharu. Kepulangan Steve Rogers sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian, tetapi apabila X-Men dan Fantastic Four turut muncul dalam filem yang sama, skala ceritanya menjadi jauh lebih besar. Cuma satu perkara yang masih menjadi persoalan ialah bagaimana Marvel mahu memberikan ruang kepada begitu ramai karakter tanpa menjadikan jalan cerita terlalu berserabut. Kita pernah melihat Russo Brothers melakukannya dengan baik menerusi Avengers: Infinity War (2018) dan Avengers: Endgame (2019), jadi harapnya mereka mampu mengulangi kejayaan tersebut.
Bagi kami, Avengers: Doomsday mempunyai potensi yang cukup besar untuk mengembalikan semula keterujaan peminat terhadap MCU. Namun, kami tidak mahu filem ini hanya bergantung kepada kemunculan watak-watak popular dan aksi berskala besar. Apa yang lebih penting ialah jalan cerita yang kuat serta Doctor Doom yang benar-benar mampu menjadi ancaman kepada semua superhero yang dikumpulkan ini. Dengan Doomsday menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju Avengers: Secret Wars (2027), pastinya banyak perkara besar bakal berlaku dalam MCU selepas ini.
Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 18 Disember 2026. Jadi, mampukah Doctor Doom mengatasi ancaman yang pernah dibawa oleh Thanos? Kami sendiri sudah tidak sabar untuk melihat bagaimana Marvel menyatukan semua karakter ini dalam satu filem. Nampaknya, Disember nanti bakal menjadi satu lagi pertemuan besar buat peminat Marvel!



Catat Ulasan