Buat para pengembara yang dahagakan aksi dan pengembaraan epik, bersiap sedialah — ONE PIECE Musim 2 bakal membawa kita belayar ke lautan penuh misteri dan bahaya, setanding dengan kru Raja Lanun masa depan!
Netflix baru-baru ini berkongsi video featurette eksklusif, memberikan kita pandangan di sebalik tabir tentang penggambaran musim baharu yang menjanjikan cabaran dan keajaiban luar biasa. Ya — kita menuju ke Grand Line!
Tonton featurette eksklusif ONE PIECE Musim 2 di bawah:
Musim kedua siri adaptasi aksi nyata ini bakal memperlihatkan pertarungan yang lebih sengit, musuh-musuh baharu, dan pengembaraan paling berbahaya setakat ini. Luffy dan kru Straw Hats memulakan pelayaran ke Grand Line — perairan lagenda yang penuh dengan pulau pelik, misteri luar jangkaan dan lawan-lawan hebat.
Musim baharu ini diarahkan oleh Matt Owens & Joe Tracz yang turut bertindak sebagai co-showrunners, penulis dan penerbit eksekutif. Siri ini turut melibatkan nama besar seperti Eiichiro Oda (pencipta manga asal), Marty Adelstein, Becky Clements dan ramai lagi sebagai penerbit.
ONE PIECE versi aksi nyata Netflix ini diadaptasi daripada manga legenda ciptaan Eiichiro Oda, siri manga paling laris dalam sejarah Jepun — dengan lebih 100 jilid dan 500 juta naskhah terjual di seluruh dunia.
Mengisahkan pengembaraan Monkey D. Luffy dalam usahanya mencari harta karun legenda “ONE PIECE” dan menjadi Raja Lanun, francais ini telah memikat hati peminat pelbagai generasi di seluruh dunia.
Ketika debut pada 2023, siri ini mencipta fenomena global — berada dalam Global Top 10 Netflix selama 8 minggu, meraih tempat #1 di lebih 75 negara, dan menjadi siri bahasa Inggeris pertama Netflix yang debut di tangga #1 di Jepun. Dengan hampir 100 juta tontonan, ia juga antara siri paling banyak dimuat turun di Netflix.
ONE PIECE turut menerima 11 pencalonan di Children’s & Family Emmy Awards, termasuk kategori Outstanding Young Teen Series.
ONE PIECE dijadualkan kembali dengan Musim 2 yang sangat dinanti pada tahun 2026, dan berita baik buat para peminat — siri ini juga telah diperbaharui untuk Musim 3.



Catat Ulasan