Kami telahpun menonton filem Marvel Studios terbaharu yang amat dinantikan di pawagam iaitu The Fantastic Four: First Steps (2025), dan ini adalah review filem The Fantastic Four: First Steps dari kami.
Dari segi penceritaan, plot filem ini adalah ringkas tetapi berkesan. Ia berkisar tentang usaha pasukan Fantastic Four, yang terdiri daripada Reed Richards (Mister Fantastic), Sue Storm (Invisible Woman), Johnny Storm (Human Torch), dan Ben Grimm (The Thing), untuk berdepan dengan ancaman kosmik bernama Galactus. Tumpuan utama adalah pada hubungan interpersonal antara empat ahli pasukan ini, yang secara ironinya menjadi kekuatan terpenting mereka. Kesepaduan yang terjalin antara para pelakon amat meyakinkan; Pedro Pascal berjaya membawakan watak Reed Richards/ Mister Fantastic sebagai seorang genius yang bertanggungjawab, manakala Vanessa Kirby memberikan sentuhan keibuan yang penting kepada watak Sue Storm/ Invisible Woman. Joseph Quinn pula cemerlang dalam memaparkan kenakalan dan sifat memberontak Johnny Storm/ Human Torch, sementara Ebon Moss-Bachrach berjaya menyampaikan beban emosi yang dirasai oleh Ben Grimm/ The Thing.
Aspek visual filem ini sangat menonjol. Dengan latar belakang era 1960-an, reka bentuk produksi menampilkan estetika retro-futuristik yang menarik. Dari kenderaan hinggalah ke makmal, dari pakaian hinggalah ke visual warna-warni, setiap elemen direka dengan teliti untuk membezakan filem ini daripada filem-filem superhero kontemporari.
Galactus, sebagai antagonis utama, dipaparkan dengan visual yang mengagumkan, tidak lagi sekadar awan kosmik seperti dalam filem terdahulu, menjadikan ancamannya lebih nyata dan menggentarkan. Namun begitu, ancaman Galactus seakan kerdil, dan tidak memaparkan 'ketakutan' sebenar. Malah, aura dari watak Silver Surfer nampaknya lebih terkehadapan, dari lontaran suara ikoniknya seperti mana dipaparkan dalam treler, hinggalah ke penampilan sisi heroism di penghujung filem. Silver Surfer kali ini nampak lebih misteri, lebih berkarisma, dan setiap babak dengannya terasa penting
Walaupun begitu, filem ini mempunyai beberapa kelemahan. Penceritaan yang pantas kadangkala menyebabkan plot terasa sedikit tergesa-gesa, terutamanya dalam pembangunan konflik dan resolusi. Beberapa sub-plot mungkin tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk berkembang sepenuhnya, menyebabkan penonton mungkin berasa kurang terhubung dengan sesetengah babak.
Secara keseluruhannya, The Fantastic Four: First Steps adalah sebuah permulaan yang menjanjikan. Filem ini berjaya memulihkan reputasi watak-watak ini di layar perak dan menetapkan nada yang positif untuk kemunculan mereka dalam MCU. Meskipun terdapat kekurangan dari segi rentak penceritaan, kekuatan utamanya terletak pada watak-watak yang dibawakan dengan cemerlang dan visual yang menawan. Ia merupakan satu langkah yang kukuh ke hadapan dan meletakkan asas yang baik untuk siri filem Fantastic Four yang akan datang.
Kesimpulannya, kalau anda sukakan filem superhero yang sarat dengan emosi kekeluargaan dan visual yang memukau, The Fantastic Four: First Steps adalah langkah positif Marvel Studios untuk mengembangkan lagi watak keluarga super ini dalam filem mereka yang akan datang. Ianya mungkin bukan filem MCU paling kompleks, tapi cukup untuk buat kita menunggu sambungannya. Kami masih merasakan potensi sebenar watak Mister Fantastic tidak dijelmakan sepenuhnya dalam filem ini.
PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.





Catat Ulasan